Calon BN gariskan 3P perkasa belia di Pelangai

Amizar ketika temu bual eksklusif bersama Bernama sempena PRK DUN Pelangai di Simpang Pelangai baru-baru ini. - Foto Bernama
Amizar ketika temu bual eksklusif bersama Bernama sempena PRK DUN Pelangai di Simpang Pelangai baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Bagi memperkasa golongan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam menggariskan strategi 3P iaitu pendapatan, perumahan dan penyediaan infrastruktur.

Amizar, 50, berkata, dalam aspek pendapatan, pekerjaan sedia ada perlu ditambah nilai sekali gus mewujudkan janaan ekonomi baharu di kawasan itu.

"Saya lihat ada keperluan untuk kita beri nilai tambah pada pekerjaan sedia ada di sini seperti penternakan lembu, pertanian yang utama di sini iaitu kelapa sawit selain industri agropelancongan,” katanya kepada Bernama.

Sebagai contoh katanya, golongan muda di kawasan Felda dilihat mempunyai minat mendalam menerusi bidang automotif yang boleh dikembangkan sebagai janaan ekonomi baharu.

"Di Felda Chemomoi, bengkel MatSpeed cukup terkenal, di TikTok pun berjuta tontonan, jadi ini semua peluang pekerjaan yang kita boleh kembangkan,” katanya.

Anak jati Felda Chemomoi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kepimpinan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, usaha mewujudkan perumahan mampu milik dan infrastruktur terancang juga perlu selari dengan peluang pekerjaan supaya anak-anak muda Pelangai tidak perlu keluar dari kawasan itu.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 7,639 daripada keseluruhan 16,456 pengundi di DUN Pelangai ialah mereka yang berusia 18 hingga 39 tahun.

PRK Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim Samat daripada Perikatan Nasional dan seorang calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasni. - Bernama

Artikel Berkaitan: