Agong seru rakyat contohi akhlak Rasulullah, bicara benar jauhi fitnah

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2023 di PICC pada Khamis. - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2023 di PICC pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis bertitah agar rakyat mencontohi akhlak warisan maknawi Rasulullah yang mulia dalam pertuturan dengan bercakap hanya mengenai kebenaran, jujur, di samping menjauhi fitnah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah hakikatnya perkataan yang kurang elok sama ada ketika tutur bicara mahupun ketika menulis di media sosial, kata-kata berbentuk cacian, nista dan dusta serta fitnah; hanya menggugat kestabilan dan keharmonian negara tercinta.

"Marilah kita mengambil iktibar daripada kejatuhan serta keruntuhan tamadun dan kuasa besar dunia akibat budaya fitnah yang mendominasi dan membarah dalam kehidupan bangsanya," titah Seri Paduka baginda sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.

Seri Paduka Baginda bertitah selepas kewafatan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, fenomena fitnah telah membawa kepada peristiwa amat tragis dalam sejarah Islam menerusi pembunuhan khalifah ketiga Saidina Uthman Affan.

"Demikian hebat hakikat fitnah dan tipu daya yang bukan sahaja telah menumpahkan darah seorang pemimpin Islam yang agung, malahan telah turut menghancurkan keharmonian dan kestabilan sebuah negara," titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah oleh itu Allah SWT, mengingatkan umat Islam untuk menghindari serta menjauhi diri daripada orang yang berbohong.

Seri Paduka Baginda bertitah ajaran Islam dibawa Rasulullah SAW mencakupi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk dalam mengemudi dan memerintah sebuah negara yang penuh rencam, pelbagai puak dan agama serta spektrum kedudukan sosio-ekonomi yang berbeza-beza.

Al-Sultan Abdullah bertitah sirah Rasulullah SAW dalam lipatan sejarah juga mencerminkan kepakaran baginda dalam mentadbir sebuah negara.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis. - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah berkenan berangkat pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis. - Foto: Bernama

"Hikmahnya, Rasulullah SAW telah berjaya membawa manusia keluar daripada kejahilan dan kelalaian sehingga berjaya membina generasi yang cemerlang," titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah Rasulullah SAW telah membawa syiar Islam untuk terus bangkit dan berkembang di benua Timur Tengah sehingga menjadi pencetus kemajuan dan kejayaan masyarakat di benua lain yang sedang dalam kegelapan ketika itu.

Seri Paduka Baginda bertitah masyarakat dunia memperlihatkan dengan contoh akhlak terpuji Rasulullah SAW sebagai penanda aras nilai insani.

Sempena sambutan Maulidur Rasul itu, Al-Sultan Abdullah turut menyeru agar rakyat terus berpegang kepada tuntutan Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW.

"Dengan yang demikian, kita akan dapat membangunkan sebuah negara yang bertamadun dan berjaya, harmoni serta sejahtera dengan rakyat yang menjiwai sifat karamatul insan," titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah baginda yakin Malaysia akan mencapai puncak kejayaan hakiki apabila syariat Islam dan nilai murni serta ketinggian akhlak yang dibawa Rasulullah SAW menjadi tatanan (aturan) tadbir urus negara.

Seri Paduka Baginda bertitah maqasid syariah perlu dijadikan kerangka asas dalam penyampaian perkhidmatan agar kemaslahatan rakyat yang menjadi tanggungjawab kerajaan terus terpelihara.

"Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini, marilah kita bertekad dan beriltizam untuk terus menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa Rasulullah SAW," titah Al-Sultan Abdullah

Turut berangkat ke sambutan bertema "Perpaduan Teras Malaysia Madani" ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Bernama