Selangor tampung subsidi beli beras import - Exco

Kerajaan negeri Selangor akan menampung subsidi pembelian beras import melalui Bernas sehingga akhir tahun ini bagi memastikan bekalan makanan ruji di negeri itu stabil. - Gambar hiasan - Foto 123RF
Kerajaan negeri Selangor akan menampung subsidi pembelian beras import melalui Bernas sehingga akhir tahun ini bagi memastikan bekalan makanan ruji di negeri itu stabil. - Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor akan menampung subsidi pembelian beras import melalui Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sehingga akhir tahun ini bagi memastikan bekalan makanan ruji di negeri itu stabil.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, beras import itu dibeli dengan harga RM17 bagi setiap lima kilogram (5kg), dan dijual semula kepada rakyat dengan harga RM13 di bawah program Jualan Ehsan Rakyat (JER).

"Baru-baru ini kita ada perbincangan dengan Bernas, ia bawa masuk beras import tapi kita jual ikut harga beras putih tempatan (BPT), maknanya kita tampunglah (beri subsidi). Kita beli dengan harga RM17 setiap 5kg tapi kita jual RM13 kerana itu harga siling untuk BPT.

"Beras import ini kita bungkuskan semula untuk dijual di bawah program JER iaitu di empat cawangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan jualan bergerak lain sejak minggu lepas,” katanya kepada pemberita selepas program Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 bersama agensi peringkat Selangor, di sini pada Rabu.