Dr Noor Hisham dilantik Pengerusi Kumpulan UCSI

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI dan Profesor Adjung di universiti milik konglomerat terkemuka negara itu.

Beliau bertanggungjawab menetapkan hala tuju strategik Hospital UCSI di Port Dickson dan anak syarikat lain serta berkhidmat sebagai pakar perunding bedah (pelawat) dalam bidang payudara, endokrin dan pembedahan am.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, organisasi itu akan mendapat manfaat daripada kepakaran dan pengalaman luas Dr Noor Hisham dalam dasar penjagaan kesihatan awam.

"Kita semua mengingati Dr Noor Hisham atas kepimpinan dan kehadirannya pada kemuncak perjuangan Malaysia menentang Covid-19.

“Beliau memimpin melalui teladan dan rekod prestasinya dalam perkhidmatan awam tiada tandingan. Saya yakin ia akan membawa UCSI ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Hisham sebelum ini bersara sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada April lalu selepas 35 tahun berkhidmat dan menerima pelbagai anugerah atas sumbangannya.

Beliau juga diiktiraf oleh China Global TV Network sebagai salah seorang daripada tiga doktor terbaik dunia yang mengetuai usaha memerangi Covid-19 bersama pakar penyakit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Artikel Berkaitan: