Hassan nafi kenyataannya timbulkan pembelian panik

Hassan menunjukan minyak masak yang masih ada tetapi dihadkan penjualnnya semasa melakukan tinjauan bekalan bahan makanan bersama pegawai KPB dan KPDN Johor di Pasar Raya Maslee Taman Cendana, Pasir Gudang pada Selasa.
Hassan menunjukan minyak masak yang masih ada tetapi dihadkan penjualnnya semasa melakukan tinjauan bekalan bahan makanan bersama pegawai KPB dan KPDN Johor di Pasar Raya Maslee Taman Cendana, Pasir Gudang pada Selasa.
A
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menafikan pendedahannya berhubung ketiadaan bekalan beras putih tempatan (BPT), minyak masak, gula pasir dan telur ayam di daerah ini telah mencetuskan pembelian panik.

Jelas beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian, kenyataannya mempunyai bukti selepas membuat tinjauan selain bertemu penduduk di sini.

"Kenyataan saya bukan untuk menimbulkan pembelian panik. Saya keluarkan kenyataan dua, tiga hari lepas dan pada hari ini terbukti, sebagai contoh melalui tinjauan di Pasar Raya Maslee Taman Cendana di sini hari ini, bekalan BPT sudah terputus sejak lima hari lalu.

"Menurut Pengurus Besar pasar raya ini, rakyat terpaksa membeli beras import secara terpaksa. Saya tidak berhajat menimbulkan pembelian panik kerana sedar saya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan bersama Pengarah Kawalselia Padi Beras (KPB) Johor, Mohd Alieff Sabeh serta pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Johor di pasar raya tesebut, pada Selasa.

Pada Sabtu, Hassan dalam kenyataannya menggesa pihak KPDN mengadakan jualan Rahmah di daerah ini bagi mengatasi masalah ketiadaan bekalan BPT, minyak masak, gula pasir dan telur ayam.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, ketiadaan BPT di daerah ini berpunca daripada masalah komunikasi.

"Bila bekalan sampai tetapi cepat habis di pasaran selain juga terdapat kes pek BPT lima kilogram dijual pada harga dua kali ganda," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejak pendedahan itu, kerajaan sudah mula memberi perhatian terhadap masalah bekalan tersebut di Pasir Gudang dan Jualan Rahmah akan turut diadakan pada bulan depan bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Saya nasihatkan rakyat beli BPT ikut kemampuan, jangan buat pembelian panik. Saya bersama-sama pegawai KPB dan KPDN sudah melihat stok BPT di Kilang Bernas di Pasir Gudang sebentar tadi dan diberitahu bekalan cukup untuk rakyat Johor," katanya.