'Tidak mudah menjadi Neelofa'

Biarpun sering dikecam, Neelofa mengambil pendekatan untuk mengambil dari sudut positif.
Biarpun sering dikecam, Neelofa mengambil pendekatan untuk mengambil dari sudut positif.
A
A
A

SEJAK awal kemunculan figura ini dalam industri seni, pelbagai onak dan ranjau sudah dilalui.

Pun begitu, segala nista diterima dengan hati terbuka.

Cercaan dan fitnah yang dilemparkan ke atasnya ditangani sebaik mungkin.

Walaupun sudah membina sebuah kubu pertahanan diri termasuk menjaga tatatusila sebaik mungkin, apa sahaja yang dilakukan Neelofa atau nama lengkapnya, Noor Neelofa Mohd Noor tidak kena pada mata warga maya.

Bayangkan, walau sudah tampil berhijab dan berniqab, penampilan isteri kepada pendakwah serta selebriti, Haris Ismail itu tetap mengundang kritikan yang mungkin mencarik-carik sanubari tuan punya badan.

Ah! Betapa sukarnya menjadi Neelofa kerana bukan hanya kisah peribadi menjadi perhatian tetapi keluarga tersayang juga menjadi sorotan ramai.

Justeru, ketika berpeluang bertentang mata dengan wanita yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu, penulis sengaja bersembang soal ketidakpuasan hati warganet kepadanya.

"Menjawab susahkah menjadi Neelofa?

Artikel Berkaitan:

Ya, susah juga (ketawa), sebab saya sentiasa kena fikirkan ramai orang.

Bukan saya sahaja tetapi tentu sekali suami.

Neelofa bersama suami tercinta Haris Ismail.
Neelofa bersama suami tercinta Haris Ismail.

Nama dia, keluarga, bisnes dan jenama yang saya bawa serta banyak lagi.

"Bila menjadi public figure akan ada banyak mata yang melihat, banyak pendapat.

Ada yang okey dan ada yang tidak," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran koleksi Naelofar X Disney di Putrajaya, Khamis lalu.

Bagaimanapun, ujar ibu kepada dua cahaya mata lelaki itu, apa juga tohmahan, dia perlu kekal tenang.

Bahkan, pengalaman lalu telah mematangkannya.

"Kalau ikutkan saya dah kena kecam dari zaman Dewi Remaja lagi.

Bukan nak kata saya kalis tetapi pengalaman banyak membantu saya menguruskan tekanan dengan baik.

"Bagi saya, selagi tidak teruk sehingga menjatuhkan maruah dan mengaibkan, insya-ALLAH saya masih boleh terima lagi," jelasnya.

Terbaharu, nama Neelofa kembali menjadi bualan apabila imejnya yang tampil dengan seluar ala 'Aladdin' dikatakan tidak sesuai dengan personaliti seorang wanita berniqab.

Memberi komentar terhadap perkara tersebut, bekas pengacara MeleTOP itu berkata, yang penting adalah pendapat suaminya.

"Setiap kali keluar rumah, saya akan pastikan pakaian saya mendapat lampu hijau daripada suami.

Kalau dia tegur, saya akan tukar.

Kalau suami kata okey, baru saya keluar.

"Bagi saya, selagi tak nampak susuk tubuh, bentuk paha dan betis, tudung dilabuhkan, itu sudah okey.

"Ya, bila dah nampak mata ini pun (berniqab), orang tetap kecam juga.

Ada ketikanya mereka berasakan tudung yang dipakai tak cukup labuhlah dan macam-macam lagi.

Setiap hari saya memang cuba yang terbaik untuk jadi yang lebih baik dan baik.

"Kalau orang nampak dan tegur dengan elok, Alhamdulillah. Saya pun banyak benda nak belajar lagi," katanya dengan nada tulus.

Kembali rancak

Menutup kisah itu, kami bertanyakan tentang kerjasama Naelofar dan Disney pula.

Neelofa menyifatkan kerjasama dengan Disney sebagai impian yang menjadi kenyataan.
Neelofa menyifatkan kerjasama dengan Disney sebagai impian yang menjadi kenyataan.

Neelofa dengan nada penuh ceria berkata, ia ibarat impian yang menjadi kenyataan.

Masakan tidak, jika dahulu dia merupakan antara peminat watak puteri Disney tetapi kini dapat menjalinkan kolaboratif dengan jenama popular itu.

"Memang rasa mimpi jadi kenyataan.

Macam saya cakap dengan Haris, saya dulu membesar dengan filem Disney tetapi kini dapat keluarkan koleksi dengan mereka.

Jadi, perjalanan Naelofar ini antara yang kita akan ingat nanti," katanya yang bakal kembali ke dunia pengacaraan menerusi program Next To Neelofa musim ketiga.

Biarpun sibuk menguruskan dua cahaya mata yang comel, Neelofa berkata, dia sudah kembali rancak bekerja.

"Awal-awal memang rasa macam zombi uruskan anak sendiri.

Kalau dulu anak berjaga malam, di sebelah siang saya boleh kumpul balik tenaga bila anak tidur.

"Kini, bila yang kecil berjaga malam, sebelah siang nak jaga abang pula.

Jadi, saya ambil night nurse bagi membantu menjaga bayi pada waktu malam dan saya dapat tidur yang cukup," katanya.