Kesalahan jenayah libat sindiket perlu guna SOSMA - Ayob Khan

Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay
Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

CYBERJAYA - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu digunakan secara meluas bagi menangani jenayah berkaitan sindiket di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penggunaan akta sedia ada terutamanya melibatkan kesalahan jenayah seperti kontraban dilihat seakan kurang berkesan.

"Kesalahan seperti penyeludupan rokok dan arak misalnya kita lihat penggunaan undang-undang sedia ada seakan kurang beri kesan, masa di Johor 10 kali tangkapan dijalankan melibatkan individu sama.

"Saya melihat perkara ini tidak akan ke mana, jenayah melibatkan sindiket perlu menggunakan SOSMA, baru boleh tangkap dan atasi keseluruhan sindiket ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Seminar Keselamatan Sempadan Negara 2023:Pengukuhan Keselamatan Sempadan Negara Strategi dan Tindakan di sini pada Selasa.

Katanya, keberkesanan SOSMA dapat dilihat sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor sebelum ini.

"Sewaktu saya di Johor, penggunaan SOSMA dilihat berkesan dalam memerangi sindiket-sindiket ini, yang mana tangkapan dijalankan bukan sahaja melibatkan tekong-tekong malah ada juga daripada anggota pihak berkuasa.

"Sekiranya dahulu kita ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) namun ia telah dimansuhkan, dan dengan SOSMA ini haruslah digunakan meluas dalam memerangi jenayah ini dengan lebih serius," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Ayob, menjadi tanggungjawab semua pihak dalam negara ini untuk mempertahankan undang-undang sedia ada.

"Kita lihat negara luar seperti Singapura, yang mana jenayah melibatkan dadah misalnya, tindakan undang-undang yang dikenakan di sana amat tegas.

"Dalam konteks undang-undang, perlu ada keberanian untuk melaksanakan dan mengambilnya mengikut peruntukan sedia ada," katanya.

23 Ogos lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh ketika ditanya mengenai perkembangan SOSMA berkata, usaha meneliti penambahbaikan SOSMA hampir selesai.

Jelas beliau, peruntukan membenarkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan selesai bagi tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah antara syor utama yang sedang diteliti untuk menambah baik akta itu.

Menurutnya, beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan antaranya Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan ahli keluarga tahanan SOSMA telah diadakan dan syor-syor yang diterima akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

"Syor menjamin (ikat jamin tahanan) adalah isu yang kami sedang teliti sekarang. Pemansuhan (akta) tiada dalam perancangan tetapi kami sedang meneliti penambahbaikan," katanya.