66 individu ditahan Op Dadu Khas seluruh Johor

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 66 individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian di seluruh Johor dalam satu operasi yang dijalankan bermula 22 September sehingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan berusia 19 hingga 66 tahun terdiri daripada 52 lelaki tempatan, tiga lelaki warga asing, enam wanita tempatan dan lima wanita warga asing serta rampasan wang tunai sebanyak RM9,641.

Beliau berkata, menerusi Op Dadu Khas selama empat hari bagi membanteras judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen itu, turut dirampas 67 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan 23 pencetak mudah alih.

"Dalam masa sama, sebanyak 56 premis telah diperiksa dan pemotongan bekalan elektrik serta pembatalan lesen terhadap premis yang terlibat akan dilakukan, menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

"Semua tangkapan telah dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman yang diperuntukkan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, kes disiasat di bawah Seksyen 4(A) dan 4(B) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti berkaitan boleh menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!