Kuota haji tambahan: TH tunggu keputusan Arab Saudi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu keputusan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat.

Beliau berkata, TH telah menulis surat permohonan rasmi berkenaan hal itu kepada kerajaan Arab Saudi malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa juga telah pergi ke Arab Saudi untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Kita doakan supaya kita dapat 10,000 kuota tambahan itu kerana saya difahamkan sehingga kini TH telah menerima sehingga 113,000 rayuan... tetapi kita tetap akan berusaha lagi dengan pihak Arab Saudi,” katanya pada sesi taklimat isu Tabung Haji di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.

Kuota rasmi yang diberikan Arab Saudi kepada Malaysia bagi tahun ini ialah sebanyak 30,200 orang.

Pada masa yang sama, Zukri berkata, sejumlah 91,000 akaun baru telah dibuka pada suku pertama tahun ini dan sebanyak RM4.3 bilion simpanan baru dicatatkan.

“Ada penulis blog menyalah tafsirkan angka-angka ini apabila melakukan kiraan purata setiap penyimpan baru memasukkan sebanyak RM47,000 ke akaun mereka. Ini adalah salah kerana jumlah itu adalah termasuk daripada simpanan baru penyimpan akaun TH yang baru dan lama," katanya. Bagaimanapun, katanya untuk tempoh yang sama sebanyak RM4.6 bilion simpanan telah dikeluarkan dan beliau percaya ia adalah pengeluaran panik para penyimpan rentetan masalah yang dihadapi TH sebagaimana yang diumum kerajaan sejak akhir tahun lalu.

“Tetapi kita yakin, prestasi TH akan lebih baik bermula suku kedua tahun ini," katanya.

TH mencatatkan keuntungan bersih RM440 juta dalam suku pertama 2019. - Bernama

Artikel Berkaitan: