PU Azman tidak hadir, sebutan kes seksual ditangguh 4 Oktober

PU Azman (kanan). Gambar fail
PU Azman (kanan). Gambar fail
A
A
A

AMPANG – Sebutan kes seksual terhadap remaja membabitkan Pencetus Ummah (PU) Azman ditetapkan semula pada 4 Oktober depan, selepas penceramah selebriti itu tidak hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan berkata, mahkamah menetapkan Selasa untuk makluman mengenai empat kes di Mahkamah Klang dihadapi PU Azman yang lebih dikenali sebagai Cik Man dipindahkan ke mahkamah ini.

Mahkamah kemudiannya diberitahu bahawa, tarikh baharu prosiding (hari ini) telah dimaklumkan kepada PU Azman, 43, menerusi pasukan pembelaannya menerusi e-mel malah mereka telah dihubungi namun tiada respon.

“Justeru itu, kami mohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes termasuk kehadiran semua pihak,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim, Norhazani Hamzah.

Pada 12 Oktober 2022, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas lima kes melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki berusia 17 tahun, Februari dan Julai tahun sama.

Pada 7 Disember pula, dia didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Klang, atas empat pertuduhan melakukan amang, komunikasi seksual dan kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki berusia 17 dan 19 tahun, pada Februari hingga Ogos tahun sama.

Dia didakwa lagi atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Disember 2022.

Keesokkan hari, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas pertuduhan ke 11 dan 12, melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dalam sebuah bilik inap desa di Jalan Kebun di sini antara jam 12 tengah malam dan 5.30 pagi pada September 2017.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!