Pemain Perak FC layak rai kemenangan - Yusri

Yusri
Yusri
A
A
A

KESUNGGUHAN dan komitmen ditunjukkan pemain Perak FC menjadi antara rahsia kejayaan menewaskan Sabah FC ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak di sini pada Isnin.

Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui walaupun lawan mereka dalam saingan Piala Malaysia bukanlah dengan pasukan mudah, namun pemainnya tidak cepat mengalah.

"Saya bersyukur apabila kita berjaya layak ke separuh akhir secara merit. Malam ini pemain saya layak meraikan kemenangan walaupun lawan kita nanti pasukan yang sangat kuat. Terima kasih juga kepada pihak pengurusan yang memberi kepercayaan kepada saya sehingga kini.

"Apabila diundi menentang Kedah FC kita sudah merasai kesukaran tapi kita berjaya menang begitu juga dengan Sabah. Tiada yang mustahil. Namun bagi saya bola sepak ini adalah bagaimana kita berusaha dan akhirnya berjaya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak di sini pada Isnin.

Sementara itu menjelang perlawanan berikutnya, Yusri meluahkan kebimbangannya apabila beberapa pemain utama mengalami kecederaan termasuklah Firdaus Sayadi dan Wan Zack Haikal.

Namun katanya, pemain-pemain muda lain menunjukkan peningkatan masing-masing dan boleh diletakkan dalam kesebelasan utama.

Beliau turut mengakui sokongan penyokong menjadi pendorong kepada pemain untuk bekerja keras sehingga mencapai kemenangan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee kecewa dengan keputusan itu kerana anak buahnya mensia-siakan banyak peluang.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau mengakui faktor padang lembap dan kecergasan pemain menyebabkan pasukannya gagal menjaringkan gol.