AKP UiTM, SWiSS tandatangan MoU kerjasama bangunkan industri keselamatan

SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Kepolisan UiTM-PDRM (AKP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Industri Keselamatan Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWiSS) dalam kerjasama untuk membangunkan industri keselamatan negara.
Pengerusi SWiSS, Tan Sri Musa Hassan berkata, ia merupakan satu lakaran sejarah yang bermakna dalam usaha membentuk perubahan industri tersebut bagi menjaga kesejahteraan, keselamatan dan keamanan rakyat.
“Justeru, menerusi kerjasama yang terjalin akan mewujudkan laluan kerjaya bagi memastikan industri ini dapat diperkasakan secara profesional di masa hadapan menerusi kursus akademik yang disediakan.
“Saya juga menyeru semua syarikat keselamatan dalam negara untuk turut serta dalam memastikan setiap pengawal mempunyai kemahiran dan kompetensi sewaktu menjalankan tugas,” katanya ketika sidang media Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di UiTM Shah Alam, pada Isnin.