Lelaki mengamuk ugut bunuh ibu, ayah direman

Suspek dibenarkan direman empat hari untuk siasatan kerana melakukan ugutan jenayah dan khianat.
Suspek dibenarkan direman empat hari untuk siasatan kerana melakukan ugutan jenayah dan khianat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki mengamuk dengan merosakkan harta benda di dalam rumah keluarganya selain mengugut mahu membunuh kedua orang tuanya, dalam kejadian amuk, di Kampung Surau Panjang, di sini, semalam.

Perintah tahanan reman terhadap suspek yang berusia 34 tahun dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dijalankan.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, suspek dikatakan sedang mengamuk sambil memegang sebilah parang di hadapan kedua orang tuanya dan tindakan melampau itu turut disaksikan adik lelakinya, 26, yang kebetulan baru balik kerja.

Sumber berkata, adik lelaki suspek turut dimaklumkan oleh ibu, 54, yang abangnya sudah merosakkan harta benda di dalam rumah serta mengugut mahu membunuh ibu dan ayah sekiranya tidak mahu menyerahkan wang diminta.

"Geram mendengar penjelasan itu, adik lelaki suspek terus memarahi tindakan biadab abangnya itu sebelum berlaku pergaduhan di antara mereka.

"Disebabkan terlalu marah, adik lelakinya gagal mengawal emosi dengan bertindak mengambil sebatang buluh di tepi rumah sebelum bertindak memukul suspek.

"Akibat perbuatan itu, suspek mengalami kecederaan luka di kepala sebelum berjaya dileraikan kedua ibu bapa dua beradik itu," katanya.

Sumber berkata, tidak berpuas hati dengan tindakan abangnya yang dikatakan sudah kerap kali mengamuk dan mengugut mahu mencederakan mereka sekeluarga, adik lelakinya mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"Susulan laporan dibuat, suspek ditangkap kira-kira jam 2.40 pagi tadi semasa sedang tidur di rumah keluarganya," katanya.