PDRM ambil tindakan kes salah laku anggota, pegawai - Ayob Khan

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memegang jawatan sebagai penyelia bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap anggota bawahan seliaan mereka yang melakukan salah laku.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebagai seorang penyelia, mereka perlu tegas dan berani serta melakukan pemantauan secara lebih terperinci.

"Kebelakangan ini kes-kes membabitkan salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM dikesan mencatat peningkatan.

"Tidak ada lagi alasan dalam kalangan penyelia untuk tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terbabit dalam salah laku kerana mereka mahu menutup kesalahan serta menjadi popular sebagai keengganan mengambil tindakan tegas," katanya dalam Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman pada Isnin.

Ayob Khan berkata, semua Pengarah, Komisioner Polis, Ketua Polis Negeri, Komander, Komandan, Pegawai-Pegawai Pemerintah, Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Polis Daerah wajib mengambil tindakan tegas dalam menguatkuasakan peraturan tanpa gagal.

"Sebarang kegagalan semua pegawai-pegawai atasan mengambil tindakan di bawah Peraturan 3C iaitu apa-apa peraturan dan pelanggaran tatatertib membabitkan pegawai dan anggota polis akan diambil tindakan," ujarnya.

Beliau berkata, semua Kontinjen, Briged dan Formasi diharap tidak hanya bergantung kepada pemeriksaan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Naziran dari Bukit Aman untuk turun membuat pemeriksaan.

"Semua pihak harus konsisten, berani dan tegas dalam menguatkuasakan Peraturan 3C bagi memastikan kita dapat membawa perubahan yang berkesan ke atas isu integriti dan salah laku dalam PDRM," jelasnya

Artikel Berkaitan: