KPKM benarkan guna pelekat harga baharu pada kampit beras import

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi kebenaran sementara bagi penggunaan pelekat harga pada kampit beras putih import (BPI) yang dipamerkan untuk jualan hingga 30 November ini.

Kenyataan KPKM pada Ahad memaklumkan, keputusan itu dicapai dalam sesi libat urus kementerian itu bersama pemain industri beras 13 September lepas ekoran pelarasan harga BPI oleh Padiberas Nasional Berhad pada 1 September.

Menurut KPKM, keputusan itu telah dimaklum kepada semua pemegang Lesen Borong Beras dan Lesen Runcit Beras termasuk pihak pasar raya melalui surat edaran oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras bertarikh 13 September 2023.

"Perkara ini diputuskan secara bersama dengan mengambil kira tempoh masa dan kos diperlukan pihak pemborong beras untuk menggantikan kampit beras lama kepada kampit beras baharu,” katanya.



Kementerian itu juga mengingatkan semua pemegang Lesen Borong Beras dan Lesen Runcit Beras agar mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan peraturan di bawahnya.

Baru-baru ini, tular di media sosial video memaparkan peniaga yang didakwa menampal pelekat harga baharu untuk mengaut keuntungan. - Bernama
Artikel Berkaitan: