PRK Pelangai: Perlu akui masalah, bekerja untuk selesaikan - Dr Akmal

Muhamad Akmal
Muhamad Akmal
A
A
A

BENTONG - Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak menolak golongan muda kini mudah tertarik dengan Perikatan Nasional (PN), namun pihaknya mempunyai strategi bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Menurutnya, kira-kira 3,000 jentera pemuda yang bersedia 300 peratus untuk mengekalkan kemenangan kerusi tersebut.

"Kita tak nafikan golongan muda mudah tertarik dengan PN tapi kita ada strategi kita sendiri...yang penting kena akui masalah kita yang sebenar maksudnya kena kerja untuk itu.

"Kita kena jumpa anak-anak muda, dengar luahan hati...dan kami dah jumpa sejak dua minggu lepas lagi. Semuanya positif," katanya ditemui selepas Program Amanat Ketua Pemuda di Kampung Shafie di sini, pada Sabtu.

Tambah beliau isu pembangunan infrastruktur antara perkara yang disuarakan anak muda yang perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan mereka.

"Perlu ditingkatkan daripada segi infrastruktur, rekreasi, tempat sukan mereka.

"Ini hanya boleh dilaksanakan kalau Pelangai jadi sebahagian daripada kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat," katanya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan persaingan tiga penjuru daripada calon BN, PN dan Bebas.

Artikel Berkaitan:

BN mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50, yang merupakan anak jati Felda Chemomoi.

Sementara, PN meletakkan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samat, 63, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim.

Bekas ahli UMNO Kampung Sum-Sum, Haslihelmy DM Zulhasli pula bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang kereta.