PRK Pelangai: Haslihelmy tanding Bebas sebab protes calon BN

Haslihelmy
Haslihelmy
A
A
A

BENTONG - Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebagai protes terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat kerana pucuk pimpinan UMNO Bentong meletakkan calon kitar semula.

Dakwanya, calon daripada BN tersebut adalah calon yang mudah 'ditarik telinga' oleh pucuk pimpinan.

"Ya, (saya bertanding lebih kepada) protes kepada keputusan pucuk pimpinan yang meletakkan calon tersebut (Amizar) bukannya Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh (Pemangku Ketua UMNO Bentong).

"Saya tidak pernah terfikir hendak sampai ke tahap ini (bertanding), tapi sedih dan sebak, saya bersama UMNO sejak tahun 2008, tapi bila tengok UMNO tidak angkat suara anak Pelangai yang mahu Mohd Zaini dan beliau layak," katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini selepas selesai proses penamaan calon pada Sabtu.

Beliau mendakwa pucuk pimpinan BN tidak mendengar suara akar umbi yang telah menolak calonnya.

"Beliau (Amizar) ditolak sebab dia pernah kalah ketika bertanding di peringkat bahagian, dan UMNO masih lagi meletakkan calon yang ditolak. Kenapa?," soalnya.

Menjawab mengenai kempen, Haslihelmy memberitahu strategi telah dirangka termasuk menggunakan pendekatan berkempen dari rumah ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin boleh penglibatannya dalam pertandingan tiga penjuru ini bukan sahaja untuk pecahkan undi, tetapi mampu meriah menang.

"Saya hadir pada hari ini saya yakin dan Insya-ALLAH saya akan menang," ujarnya yang menggunakan logo kereta.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Haslihelmy menentang dua lagi calon iaitu Amizar dan Kasim Samat daripada Perikatan Nasional (PN).

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU15, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).