12 lelaki warga India, Bangladesh ditahan dalam bas ekspres

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan lapan lelaki warganegara India dan empat lelaki warga Bangladesh di dalam sebuah bas ekspres di tepi jalan berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, ketika menjalankan Op Cantas kira-kira pukul 1 pagi, pihaknya telah menahan sebuah bas ekspres dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kota Bharu.

"Hasil pemeriksaan terhadap semua penumpang di dalam bas terbabit mendapati lapan lelaki warganegara India dan empat lelaki warganegara Bangladesh gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Kesemua tangkapan telah dibawa ke IPD Gua Musang untuk disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan warga asing dalam operasi yang dijalankan adalah hasil daripada kerjasama antara pihak imigresen dan polis dalam mengekang pergerakan warga asing yang tiada dokumen di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: