PTPTN bantu 30,893 pelajar bakal ke IPTA melalui Wang Pendahuluan Pinjaman

Sejak tahun 1999 sehingga Ogos 2023, sejumlah RM1.43 bilion telah diberikan kepada 969,046 pelajar

A
A
A

Penerima WPP bergambar bersama Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, (belakang, empat dari kiri) ketika Majlis Penyampaian WPP PTPTN di Pulau Pinang pada 22 September 2023 lalu.
Penerima WPP bergambar bersama Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, (belakang, empat dari kiri) ketika Majlis Penyampaian WPP PTPTN di Pulau Pinang pada 22 September 2023 lalu.

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) kerana masalah kewangan.

Oleh itu, inisiatif Pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada setiap pelajar yang layak untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki IPTA bukti keprihatinan PTPTN dalam meringankan beban keluarga pelajar dan sekali gus menjaga kebajikan para pelajar itu sendiri.

Dalam satu kenyataan hari ini, PTPTN mejelaskan, WPP berkenaan diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa memohon melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

"Semenjak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Ogos 2023, seramai 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion.

"Bagi kemasukan pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda ke IPTA sesi Oktober 2023 ini, seramai 30,893 pelajar telah ditawarkan WPP yang melibatkan peruntukan sebanyak RM46.34 juta.

Artikel Berkaitan:

"Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 19 September 2023 dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan)," kata kenyataan itu.

Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 19 September 2023 hingga 18 November 2023.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif pemberian WPP itu adalah sebagai salah satu usaha dalam menjayakan agenda pendidikan negara bagi memastikan semua pelajar di negara ini mampu melangkah masuk ke IPT tanpa sebarang masalah kewangan.

"Tahniah dan syabas kepada semua pelajar-pelajar di atas kejayaan melangkah ke menara gading.

“Pemberian WPP ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa kerana kita percaya tidak semua mampu menghantar anak-anak ke IPT di mana semuanya memerlukan sumber kewangan yang tinggi.

"Gunalah peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan tunjukkanlah rasa terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” tambahnya lagi.

PTPN menambah, para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.

Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.

Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPTmasing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN juga boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.

Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat dengan cepat, mudah dan selamat, hanya di hujung jari melalui aplikasi myPTPTN.