Banjir kilat di beberapa negeri susulan peralihan monsun

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Banjir kilat yang berlaku di beberapa negeri ketika ini disebabkan hujan lebat yang lebih kerap berlaku susulan negara memasuki fasa peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga November.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Helmi Abdullah berkata, semasa fasa peralihan monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah melibatkan pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah dan kawasan barat dan tengah Sarawak.

"Kebiasaannya fasa peralihan monsun berlaku antara pertengahan September sehingga November sebelum beralih ke Monsun Timur Laut dan keadaan ini menyebabkan berlakunya kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang pada waktu petang hingga awal malam selain angin puting beliung dan hujan batu.

"Corak cuaca berpotensi mengakibatkan banjir kilat, tanah runtuh, kepala air, pokok tumbang, panahan kilat dan kerosakan struktur tidak kukuh,’’ katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan berlindung di dalam rumah atau bangunan, meletak kenderaan di kawasan selamat, jauhi rod pengalir elektrik dan struktur tinggi serta tempat takungan air semasa ribut petir.

Helmi berkata, ketika ini kebanyakan kawasan perairan negara adalah tenang dan selamat untuk melaksanakan aktiviti di laut, namun orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dan merujuk METMalaysia jika ingin melakukan aktiviti berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya sentiasa bersedia menghadapi risiko bencana banjir di seluruh negara termasuk di kawasan bukan 'hotspot'.

Beliau berkata, corak perubahan cuaca ketika ini menyebabkan sukar untuk pihaknya meramal secara spesifik kawasan mana mempunyai risiko lebih tinggi terdedah dengan bencana tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang berlaku di Shah Alam, Selangor misalnya pada 2021... Shah Alam bukan hotspot dan tumpuan kita pada masa itu, lebih ke kawasan lain. Tapi disebabkan corak cuaca berubah-ubah menyebabkan situasi di situ lebih teruk dari apa yang kita jangkakan.

"Jadi, belajar dari situ Nadma ambil pendekatan untuk bersiap siaga dan pantau di seluruh kawasan, termasuklah dari segi persediaan aset mahupun kerjasama antara agensi yang bertanggungjawab menguruskan bencana ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, 77 daerah di seluruh negara kecuali di Pulau Pinang, Perlis dan Kuala Lumpur kerap mengalami banjir berulang dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Sabah iaitu sebanyak 12 daerah antaranya di Tenom, Beaufort, Penampang, Beluran dan Kota Marudu.

Ia diikuti Johor dengan 10 daerah antaranya di Johor Bahru, Kluang, Pontian, Batu Pahat dan Kulai, sembilan daerah masing-masing di Perak dan Pahang, lapan di Kelantan dan Terengganu, Selangor (enam), Sarawak (lima), Kedah (empat) dan Negeri Sembilan serta Melaka (tiga).

Dari aspek pengurusan, beliau berkata, peranan Pegawai Daerah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) sentiasa dimantapkan menerusi latih amal yang dibuat secara berterusan yang juga melibatkan pihak responder lain termasuk Ketua Polis Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Khairul Shahril berkata, melalui pemerkasaan Pengurusan Risiko Berasaskan Komuniti pula, peranan rakyat sebagai responder pertama juga dilihat semakin memberangsangkan dan menurutnya tahap pengetahuan serta kesedaran mereka berdepan bencana juga semakin meningkat.

"Sebelum ini pihak berkuasa dianggap sebagai responder pertama. Namun, pendekatan Nadma ketika ini ialah mahu penduduk setempat lebih memainkan peranan mereka sebagai bantuan awal. Mereka kena tahu cara membantu mangsa atau selamatkan diri mereka. Sebab itulah kita turut libatkan mereka dalam program latih amal ini.

"Sekarang ini, kita juga lihat apabila berlaku hujan lebat mereka sudah lebih sensitif untuk alihkan kenderaan mereka ke tempat lebih tinggi dan selamat, berbanding ketika berdepan banjir 2021. Selain itu, kita lihat keinginan badan bukan kerajaan (NGO) untuk terlibat dalam pengurusan bencana juga semakin bertambah,” katanya.

Beliau berkata, Nadma turut mengemas kini aset mereka dalam pengurusan bencana termasuk untuk tujuan penambahbaikan sistem amaran awal menerusi peruntukan RM150 juta oleh kerajaan dalam Belanjawan 2023. - Bernama