Haslihelmy tak kisah dipecat UMNO

Haslihelmy
Haslihelmy
A
A
A

BENTONG - Ahli perniagaan, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, nekad untuk kekal bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai walaupun berdepan kemungkinan dipecat daripada UMNO.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang itu memberitahu tidak kisah jika dipecat selepas kecewa dengan parti tersebut yang disifatkan hilang prinsip perjuangan.

"Saya tak terkilan kalau dipecat dan sedia ambil risiko walaupun hampir 15 tahun menjadi ahli.

"Sekarang ini saya menerima banyak serangan daripada pelbagai pihak selepas mengambil keputusan menawarkan diri menjadi calon Bebas," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Tambah ahli UMNO Kampung Sum-Sum itu lagi, sudah ada pihak yang mengambil gambar dirinya berseluar pendek dan beliau menyifatkan itu perkara biasa bagi golongan muda sepertinya.

"Saya sudah pun mempunyai kumpulan penyokong sendiri, yang terdiri daripada penduduk tempatan," katanya.

Malah beliau optimis dengan peluangnya dan yakin tidak akan hilang deposit walaupun bertanding atas tiket Bebas.

Ujar Haslihelmy lagi, beliau sudah menghadiri taklimat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat di Pejabat Daerah dan Tanah Bentong pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tanya simbol, saya berkehendak nak pilih kereta, itu yang dalam bayangan dan sesuai buat saya selepas ditawarkan beberapa simbol lain seperti pesawat dan kunci," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, Haslihelmy akan dilucutkan keahlian parti secara automatik jika beliau bertanding pada PRK berkenaan.

"Beliau ialah ahli biasa cawangan Kampung Sum-Sum. Setakat ini, beliau tidak berunding dengan bahagian Bentong mengenai keputusannya untuk bertanding di Pelangai," jelasnya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Allahyarham Johari adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.