JPJ lapor polis individu buat hantaran mengelirukan

JPJ menafikan satu hantaran tular yang dibuat seorang pemilik akaun Facebook mengenai penggunaan LKM secara digital.
JPJ menafikan satu hantaran tular yang dibuat seorang pemilik akaun Facebook mengenai penggunaan LKM secara digital.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan kenyataan tular daripada seorang pemilik akaun di Facebook berhubung lesen kenderaan motor (LKM) digital.

JPJ dalam satu kenyataannya berkata, kenyataan dan penjelasan yang diberikan oleh individu tersebut mengenai pendigitalan LKM adalah tidak benar serta mengelirukan.

Katanya, satu laporan polis telah dibuat supaya siasatan dapat dijalankan terhadap pemilik akaun tersebut.

"Perkara ini penting diambil tindakan bagi mengelakkan perkongsian kenyataan tidak betul dan mengelirukan pada masa hadapan.

"JPJ ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat hantaran atau berkongsi kandungan media sosial yang boleh mengelirukan banyak pihak.

"Malah orang ramai juga digalakkan supaya menyemak terlebih dahulu maklumat yang diperoleh bagi memastikan ia benar serta sahih menerusi portal atau media sosial rasmi JPJ," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, seperti mana yang dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan pada 10 Februari lalu, JPJ sedang berada dalam fasa interim pelaksanaan pendigitalan LKM dan lesen memandu Malaysia (LMM).

Jelasnya, hanya pemandu yang telah bersedia digalakkan untuk beralih daripada dokumen berbentuk fizikal kepada dokumen berbentuk digital.

Artikel Berkaitan:

Meskipun begitu katanya, sepanjang tempoh interim itu, pemilik kenderaan dan pemandu masih diberi pilihan sama ada untuk menggunakan LKM atau LMM dalam bentuk digital atau kekal menggunakan dokumen fizikal.

Sehubungan itu, orang ramai yang memilih menggunakan dokumen digital tidak perlu bimbang sekiranya ditahan oleh pihak agensi penguat kuasa untuk pemeriksaan.

Ini kerana menurutnya, pihak penguat kuasa yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.