Lapan pengedar dadah ditahan di Lawas

A
A

LAWAS - Polis menahan lapan suspek pengedar dadah termasuk dua wanita dalam dua serbuan di sini serta merampas syabu bernilai RM13,565 pada Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif berkata, kesemua suspek berusia 22 hingga 43 tahun dengan seorang bekerja sebagai buruh dan yang lain adalah penganggur serta surirumah.

"Serbuan pertama melibatkan penahanan dua suspek, seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia 34 dan 28 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sahar berkata, dalam serbuan yang dilakukan oleh pasukan JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak pada pukul 8.10 malam itu, suspek lelaki rakyat tempatan itu ditahan di sebuah kereta di tepi jalan manakala suspek wanita juga rakyat tempatan ditahan dalam sebuah bilik dalam hotel.

"Sebanyak 12.45gram syabu bernilai RM3,050 dirampas dengan kegiatan pengedaran dadah kedua-dua suspek bermula pada tahun 2018 di sekitar bandar Lawas,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek positif dadah. Beliau berkata, kedua-dua suspek kini diperintah tahanan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Untuk serbuan kedua, beliau berkata, lima lelaki dan seorang wanita, kesemuanya rakyat tempatan berusia 22 dan 43 tahun ditahan di Kampung Kerangan pukul 8.45 malam.

Menurutnya, 22.80gram syabu bernilai RM10,515 telah dirampas dalam serbuan itu dan ujian saringan awal mendapati lima lelaki berkenaan positif dadah dan wanita itu tidak positif dadah.

"Aktiviti pengedaran dadah suspek berkenaan pada akhir tahun 2017 sekitar kawasan kampung itu dan dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah juga,” katanya sambil menyatakan kelima-lima suspek kini ditahan reman selama tiga hari.

Kesemua lapan suspek yang ditahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia