'Cadangan kaji semula keperluan PRK tidak wajar, elak pilih wakil rakyat kroni'

SHAH ALAM - Cadangan untuk mengkaji semula keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka atas faktor kematian penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak wajar dilakukan bagi menggelakkan pemilihan wakil rakyat daripada kroni.
Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia akan membuka ruang besar kepada pemimpin parti yang mempunyai kuasa penuh untuk menentukan pengganti jawatan itu manakala rakyat hilang hak untuk memilih.
“Ia lebih mudah menjadi situasi seperti Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson, yang mana seorang presiden parti menaikkan atau mencalonkan isteri, anak dan kroninya.
“Tanpa PRK, individu terbabit boleh memaksa wakil rakyat yang menang daripada partinya untuk melepaskan jawatan. Kemudian menggantikan dengan sesiapa sahaja, adakah rakyat bersetuju dengan nepotisme sebegitu?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.