Permanian beradas bagi tambah spesies Harimau Malaya

TANJUNG MALIM - Kaedah artificial insemination (AI) atau permanian beradas adalah antara teknologi pembiakan yang sedang dilaksanakan terhadap populasi kritikal Harimau Malaya dalam usaha meningkatkan populasi spesies terancam itu.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia merupakan antara program ex-situ di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai di sini bagi mengatasi masalah ketidakmampuan kaedah semula jadi dalam kalangan spesies berkenaan.
"Ia masih dalam peringkat percubaan, belum berhasil, mungkin ada beberapa masalah termasuk penyakit yang menjejaskan kemampuan harimau ini untuk membiak secara semula jadi sebab itu kita usahakan kaedah AI, kita harap spesies ini nanti mampu ditambah seperti disasarkan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke NWRC dekat sini pada Khamis.
Terdahulu, Nik Nazmi mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan berangkat ke pusat berkenaan.