Internet murah: MCMC dalam fasa terakhir bincang dengan pembekal perkhidmatan

Fahmi berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi September 2023 anjuran Sektor Telekomunikasi dan Ekonomi Digital di kementeriannya, pada Khamis. - Foto Bernama
Fahmi berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi September 2023 anjuran Sektor Telekomunikasi dan Ekonomi Digital di kementeriannya, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini dalam fasa akhir perbincangan dengan pembekal perkhidmatan jalur lebar bagi membolehkan harga borong internet ditawarkan pada kadar lebih murah, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, beliau telah meminta agar perbincangan itu diselesaikan pada minggu hadapan bagi membolehkan proses selanjutnya iaitu pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dan pembekal perkhidmatan jalur lebar.

Beliau berkata, proses rundingan mengambil masa kerana melibatkan pelbagai pihak namun hasilnya kelak, harga Internet akan berkurangan dengan agak signifikan.

"Sesi rundingan telah diadakan, saya percaya hampir capai kata putus. Insya-Allah saya jangka menjelang minggu depan akan dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan KKD di sini pada Khamis.

Pada 7 Ogos lepas, Fahmi dilaporkan berkata, semua penyedia perkhidmatan Internet jalur lebar telah diarahkan untuk mengurangkan harga Internet bermula September selaras dengan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP), yang menyaksikan harga borong Internet dikurangkan dan menjadi lebih murah.

Fahmi berkata, pengurangan harga Internet itu juga bertujuan mengurangkan kadar inflasi dalam sektor telekomunikasi negara yang kini telah mereda daripada 0 peratus kepada -3.7 peratus pada Julai lepas.

"Dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kita berjaya turunkan kadar inflasi sektor komunikasi, ini bermaksud kita memang akan tawarkan Internet pada harga murah,” katanya.

Pada 25 Ogos lepas, Fahmi dilaporkan berkata, KKD akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban kewangan rakyat dalam sektor komunikasi selaras dengan perkembangan positif kadar inflasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketika berucap pada perhimpunan bulanan itu, Fahmi berkata, KKD akan menjadi hos bagi Forum Pembangunan Telekomunikasi/Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia-Pasifik (ADF2023) yang akan diadakan di ibu negara pada 9 dan 10 Oktober ini.

"Saya lihat ini sebagai suatu peluang bagi negara untuk menonjolkan beberapa kemajuan (dalam sektor telekomunikasi). Kita perlu ambil peluang ini untuk tonjolkan beberapa strategi yang kita laksanakan termasuk berjaya melaksanakan 5G dan mengurangkan kadar inflasi sektor komunikasi,” katanya.

Penganjuran ADF2023 di Malaysia merupakan sebahagian komitmen negara selaku Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) selepas dipilih menduduki kerusi tersebut untuk penggal 2023-2026 pada Persidangan Plenipotentiary ITU 2022 (ITU PP22) di Bucharest, Romania pada 3 Oktober 2022. - Bernama