Baitulmal Maik perkasa jaringan strategik

Sebahagian daripada kira-kira 80 orang wakil rakan strategik hadir ke Majlis Hi-Tea Baitulmal 2023 bersama Rakan Strategik dan Media di sebuah hotel di Alor Setar pada Rabu.
Sebahagian daripada kira-kira 80 orang wakil rakan strategik hadir ke Majlis Hi-Tea Baitulmal 2023 bersama Rakan Strategik dan Media di sebuah hotel di Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah (Maik) terus membina jaringan bersama rakan strategik bagi menarik minat agensi luar bagi tujuan melaksanakan kerjasama dalam bentuk fizikal, modal insan ataupun suntikan sumber dana.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Syeikh Yahaya Jusoh berkata, jalinan kerjasama itu diyakini mampu memberikan impak positif terhadap sosio ekonomi golongan sasaran di negeri ini.

Menurutnya, Baitulmal Maik beroperasi dengan 11 kakitangan dan dibantu oleh seorang kakitangan Maik yang ditempatkan di setiap Pejabat Agama Daerah seluruh Kedah.

"Baitulmal Maik terdiri daripada empat unit iaitu Unit Tanah, Unit Faraid, Unit Bantuan dan Unit Tabung Amanah Baitulmal Kedah (TABK).

"TABK ini dahulu dikenali sebagai Amanah Baitulmal Kedah (ABK) yang telah diberikan nafas baharu bermula 1 Oktober bagi mempelbagaikan sumber baitulmal dan meningkatkan perolehan hasilnya," katanya semasa sidang akhbar di sebuah hotel di Alor Setar pada petang Rabu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Hi-Tea Baitulmal 2023 bersama Rakan Strategik dan Media serta hadir sama Ketua Bahagian Baitulmal Maik, Syeikh Ahmad Zaki Ghazali.

Ujar Syeikh Yahaya, tujuan Unit TABK ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan baitulmal iaitu fidyah dan kafarah, pengurusan harta dan wang tidak patuh syariah, sumbangan atau infak fisabililah dan luqatah (wang atau harta tercicir).

Menurutnya, objektif TABK adalah meneroka hasil baru bagi baitulmal berlandaskan hukum syara serta mengalakkan masyarakat untuk berinfak dalam bentuk baharu seperti sistem pesanan ringkas (sms), pindahan akaun bank dan potongan gaji.

Artikel Berkaitan:

"Objektif ini juga bagi memudahkan masyarakat melaksanakan kaedah pengurusan yang lebih sistematik dan sebagai tempat rujukan, perundingan serta khidmat nasihat kepada masyarakat," ujar beliau.

Tambah Syeikh Yahaya, kesedaran orang ramai juga semakin meningkat berdasarkan kutipan skim TABK yang meningkat sejak beberapa tahun lalu.

Sebagai contoh kutipan fidyah direkodkan sebanyak RM3,439,029.93 pada 2021 diikuti RM3,497,567.79 (2022) dan RM2,991,053.41 (setakat 15 September 2023).

Perkara sama dapat dilihat pada kutipan wang tak patuh syariah iaitu RM190,866.30 pada 2021 diikuti RM287,455.90 (2022) dan RM399,098.77 (setakat 15 September 2023).

Kutipan bagi Luqatah pula adalah RM4, 966 pada 2021, RM36,757.20 (2022) dan RM53,368 (setakat 15 September 2023) manakala kutipan bagi infak fi sabilillah RM59,358.50 pada 2021, RM98,052.94 (2022) dan RM24,619.10 (setakat 15 September 2023).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!