Anwar, Erdogan kutuk bakar al-Quran, wacana populis hasut ucapan kebencian

Anwar dan Erdogan ketika mengadakan pertemuan dua hala sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar dan Erdogan ketika mengadakan pertemuan dua hala sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

NEW YORK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengutuk sekeras-kerasnya pembakaran al-Quran baru-baru ini dan wacana populis yang menghasut ucapan kebencian terhadap Islam.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu selepas pertemuan pemimpin itu di New York di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78, mereka juga menyatakan kebimbangan terhadap kemunculan "bentuk perkauman baharu" yang bercirikan xenofobia, profil negatif, dan stereotaip terhadap umat Islam.

Erdogan dan Anwar juga menyatakan 'kebimbangan mendalam' mengenai "trend peningkatan kebencian, sikap tidak bertoleransi, diskriminasi, dan tindakan keganasan terhadap umat Islam dan kesucian mereka yang telah mencapai tahap yang membimbangkan di banyak bahagian dunia, terutamanya di Eropah," Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin itu berkata, mereka menyambut baik penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung 76/254 untuk mengisytiharkan 15 Mac sebagai "Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia."