KPWKM nafi bayi Bajau Laut 'dirampas'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan laporan portal mengenai dakwaan bayi Bajau Laut 'dirampas' dari seorang ibu yang tidak mempunyai kerakyatan di sebuah hospital di Sabah.

Menerusi kenyataan KPWKM memaklumkan, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada Rabu bagi menafikan laporan berkenaan.

"Kementerian memandang serius dakwaan ini dan semakan telah dilakukan serta mendapati isu ini adalah kes lama yang dikendalikan oleh Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Lahad Datu, Sabah pada tahun 2021," kata KPWKM.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan laporan tersebut, kementerian yang bertanggungjawab terhadap isu kekeluargaan itu menegaskan pengendalian kes telah dilaksanakan dengan teratur mengikut prosedur yang ditetapkan berdasarkan laporan pelindung, perintah mahkamah, laporan polis, akuan sumpah berkanun, permohonan daftar lewat kelahiran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan laporan daripada Hospital Lahad Datu.

"Dakwaan yang telah dibangkitkan oleh Malaysiakini adalah tidak benar," ujar kementerian itu.

Jelasnya, penempatan kanak-kanak bersama Orang Yang Layak Dan Sesuai (OYLS) pada awalnya adalah melalui Perintah Sementara di bawah perenggan 19(2)(b), Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] daripada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK), sementara proses mengenal pasti ibu atau bapa atau penjaga dijumpai dan tampil untuk mendapatkan hak penjagaan tersebut.

Walau bagaimanapun, seseorang yang mendakwa sebagai ibu kandung telah muncul di hospital dan menuntut untuk mendapatkan hak penjagaan semula kanak-kanak di mana pada ketika ini, kanak-kanak tersebut telah mendapat Perintah Tetap di bawah perenggan 30(1)(b), Akta 611 daripada MBKK.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menegaskan bahawa suatu Perintah Tetap yang dikeluarkan oleh MBKK hendaklah mengambil kira kepentingan kanak-kanak sebagai pertimbangan utama dan menjadi fokus utama semua pihak yang terlibat," kata kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

Setelah mendapat pengesahan daripada Ketua Kampung Bajau Laut, Lahad Datu, Sabah, pelindung telah menawarkan kepada ibu dan bapa kandung untuk mengambil semula hak penjagaan kanak-kanak daripada OYLS.

Namun ibu bapa kandung telah membuat keputusan untuk menyerahkan kanak-kanak kepada OYLS melalui akuan sumpah berkanun secara suci hati.

Selain itu, pelindung juga mendapati bahawa ibu kandung tidak berkemampuan untuk memelihara kanak-kanak ini disebabkan oleh faktor kewangan dan kesihatan kronik serta tidak berupaya membiayai kos perubatan kanak-kanak tersebut dan telah meninggalkan kanak-kanak (pramatang) berkenaan selama tiga bulan di Hospital Lahad Datu.

Susulan itu, satu sesi persidangan kes bagi memperincikan maklumat dan membuat semakan berhubung prosedur pengendalian kes pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak berdasarkan kepada Akta 611 telah diadakan pada Selasa.

Menurut KPWKM, pelindung telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab berlandaskan pewartaan pelantikan dan kuasa pelindung di bawah seksyen 8, Akta 611 bagi menentukan penempatan kes-kes pemeliharaan dan perlindungan kepada OYLS atau tempat selamat.

"Penempatan kanak-kanak bersama dengan keluarga adalah keutamaan dan pilihan terbaik berdasarkan kepada “best interest of the child” berbanding penempatan di institusi kebajikan," katanya.

Dalam pada itu kementerian turut menegaskan tidak akan berkrompromi dengan mana-mana pihak sekiranya terdapat unsur kecuaian mahu pun salah laku pelindung dalam mengendalikan kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

"KPWKM menyeru semua pihak untuk tampil membuat laporan menerusi Talian Kasih 15999 dan pihak berkuasa.

Kementerian juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pegawai yang terlibat sekiranya dakwaan ini adalah benar dan memang berlaku," ujar kementerian itu.