Selangor sedia laksana intervensi stabilkan bekalan beras

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan memanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendapatkan maklumat berhubung status bekalan beras di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bersedia melakukan intervensi jika keadaan mendesak.

Menurutnya, langkah tersebut akan dilakukan bagi menangani isu bekalan beras sehinggalah masalah itu selesai.

"Di peringkat awal ini, ada lima lokasi untuk jualan Beras Ehsan oleh PKPS.

"Jika keadaan kritikal, kerajaan negeri akan gunakan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) untuk membantu rakyat menangani kekurangan beras tersebut," katanya mengulas isu kekurangan beras di pasaran.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Lori Kompektor Baharu dan Imej Korporat Baharu KDEB Waste Management pada Rabu.

Amirudin berkata, kerajaan negeri juga sedang membuat penstrukturan semula program JER untuk dikoordinat dengan program kementerian di bawah Jualan Rahmah.

"Sementara ke arah itu, kerajaan negeri akan menumpukan kepada bekalan beras yang inisiatif itu bakal memberi manfaat kepada rakyat Selangor secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

"Cuma seperti yang saya sebut sebelum ini, intervensi adalah langkah sementara yang tak boleh berkekalan dan tujuannya untuk stabilkan bekalan," katanya.

JER diperkenalkan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi isu kenaikan harga barang ketika pascapandemik Covid-19 dengan menawarkan harga barangan asas seperti beras, minyak dan telur dengan harga 30 peratus lebih murah dari pasaran.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM20 juta bagi meneruskan siri JER 2.0 berbanding RM12 juta pada tahun lepas.