Wajib mandulkan anjing syarat lulus lesen

Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar di Wisma Negeri.
Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar di Wisma Negeri.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mewajibkan setiap individu yang memohon lesen pemeliharaan anjing supaya memandulkan haiwan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, syarat tambahan itu dilaksanakan sebagai langkah mengawal populasi haiwan terbabit yang kini merupakan antara isu besar berlaku di banyak kawasan.

"Kita lihat hampir semua kerajaan negeri bersetuju (wajib mandulkan) dan ada negeri yang telah melaksanakannya yang mana kita rasa ia satu cadangan yang baik.

"Ini kita telah setuju dan kita akan minta supaya dapat disampaikan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pastikan langkah ini dapat dilaksanakan," katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Menurut Aminuddin, pihaknya bukan melarang mana-mana individu untuk memelihara anjing, tetapi mahu mereka lebih bertanggungjawab.

Ini kerana katanya, ada segelintir pemilik yang bertindak membuang anjing mereka yang akhirnya menjadi anjing liar sehingga mengganggu keselesaan penduduk.

"Kalau nak pelihara anjing, peliharalah, tapi mandulkan supaya dapat kawal populasi kerana kadang-kadang anjing itu beranak sampai lapan ekor, tapi pemiliknya jaga dua ekor sahaja dan selebihnya dibuang yang akhirnya jadi anjing liar di kawasan tertentu," katanya.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sememangnya menyediakan pusat perlindungan anjing terbiar sebelum ini, namun ia tidak mampu mengatasi masalah anjing liar.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini juga beberapa kali melaporkan keluhan penduduk berhubung isu anjing liar yang membelenggu mereka, malah ada yang turut menjadi mangsa.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan diselesaikan kerajaan negeri selewat-lewatnya pada 30 Oktober ini.