Video tular: FAMA Negeri Sembilan diminta tambah baik kaedah jualan BPT

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli beras tempatan pada program Jualan Beras Putih Tempatan di Pusat Operasi FAMA Senawang, pada Rabu. - Foto Bernama
Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli beras tempatan pada program Jualan Beras Putih Tempatan di Pusat Operasi FAMA Senawang, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A
SEREMBAN, 20 Sept (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan diminta menambah baik kaedah pembelian beras putih tempatan (BPT) menerusi program Intervensi Pengedaran BPT bagi memastikan setiap masyarakat mendapatkannya.

Exco Kanan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia termasuk memperincikan dan mengehadkan jumlah pembelian kepada setiap individu atau keluarga bagi mengelakkan bekalan beras tidak mencukupi sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan mereka.

"Saya terima laporan ada satu keluarga beli sampai enam kampit beras 10 kilogram (kg), ini tidak adil kepada orang lain. Kalau di Seremban tadi, FAMA hanya benarkan satu keluarga atau seorang individu beli satu kampit sahaja tetapi ia tidak berlaku di Kuala Pilah dan Jelebu dan menyebabkan berlakunya kekurangan.



"Hari ini adalah hari pertama, mungkin FAMA agak terlepas pandang, sehingga ada yang membeli lebih daripada jumlah sepatutnya.

"Saya telah ingatkan kepada pegawai agensi terbabit supaya lebih spesifik dan praktikal dalam mengedar dan menjual bekalan beras dalam program ini," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri berkata demikian bagi mengulas video tular memaparkan orang ramai tidak berpuas hati apabila beras tempatan habis tanpa sempat membelinya ketika program jualan berkenaan dipercayai di Pusat Operasi FAMA Kuala Pilah.
Artikel Berkaitan:


Selain itu, Jalaluddin sekali lagi menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat pembelian panik kerana bekalan beras tempatan tentunya mencukupi untuk pembelian pengguna di negeri ini. - Bernama