5 projek terima anugerah Hari SHEQ

Nanta (empat dari kanan) bersama barisan pemenang anugerah pencapaian tertinggi 2022 di WTC Kuala Lumpur pada Selasa.
Nanta (empat dari kanan) bersama barisan pemenang anugerah pencapaian tertinggi 2022 di WTC Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima projek pembinaan termasuk tiga milik kerajaan menerima anugerah pencapaian tertinggi berdasarkan tiga kategori penilaian sempena Hari Safety and Health, Environment and Quality (Hari SHEQ) 2023 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Tiga projek kerajaan itu ialah Pusat Kardiologi Hospital Serdang, Selangor bagi Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) yang dilaksanakan kontraktor, Nadi Cergas Sdn Bhd.

Projek Central Spine Road 3BC, Kelantan yang diuruskan IDX Multi Resources Sdn Bhd untuk Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC).

Projek Hospital Sungai Siput, Perak dengan kontraktor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Pembangunan pula berjaya meraih penilaian bagi Penarafan Hijau (MYCREST).

Dua lagi projek melibatkan sektor swasta iaitu Sunway Citrine Lakehomes, Iskandar Puteri, Johor yang dilaksanakan kontraktor, Kalsari Jaya Sdn Bhd bagi penilaian QLASSIC, manakala Vista Sentul Residences Kuala Lumpur oleh TCS Construction Sdn Bhd untuk SHASSIC.

Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut Nanta, pencapaian membanggakan dalam penilaian tersebut menunjukkan bahawa penggiat industri di negara ini berupaya melaksanakan projek pembinaan dengan menitikberatkan kualiti hasil kerja dan kelestarian alam sekitar.

Ujarnya, ia juga bagi memastikan semua garis panduan kesihatan dan keselamatan di tapak bina dipatuhi pihak kontraktor.

Artikel Berkaitan:

"Projek dan pemain yang diiktiraf hari ini adalah bukti bahawa amalan SHEQ bukan sahaja baik untuk perniagaan tetapi juga penting untuk mencipta masa depan yang mampan bagi semua rakyat Malaysia," katanya.

Ujar Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Mohd Zaid Zakaria, penganjuran Hari SHEQ secara tahunan bertujuan mengiktiraf pencapaian penggiat industri pembinaan bagi mempromosi penggunaan sistem penilaian kualiti, keselamatan dan mampan.

Menurutnya, kualiti hasil kerja pembinaan ialah suatu yang kritikal dan antara faktor utama menjadikan industri itu bertaraf dunia dan kompetitif.

"Justeru, majlis ini merupakan platform bagi CIDB mengiktiraf penggiat pembinaan yang mencapai prestasi tertinggi dalam kualiti hasil kerja industri tersebut," katanya.