Jangan buat pembelian panik, beras mencukupi di Johor - Exco

Zahar menyerahkan beras kepada seorang penerima ketika Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal, Jalan Datin Halimah, Johor Bahru pada Rabu.
Zahar menyerahkan beras kepada seorang penerima ketika Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal, Jalan Datin Halimah, Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rakyat Johor dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan beras tempatan dan import di negeri ini adalah mencukupi.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, Johor mempunyai bekalan beras yang lebih daripada mencukupi.

"Menurut maklumat agensi Kawalselia Padi Beras (KPB) Johor dan Jabatan Pertanian, penggunaan beras bagi rakyat negeri ini hanya 21,000 tan metrik sebulan manakala bekalan yang kita ada 23,000 tan metrik.

"Secara keseluruhan kita mempunyai bekalan 316,000 tan metrik untuk setahun. Sepatutnya tidak ada kerisauan tentang bekalan beras. Jadi kita harap rakyat Johor beli beras seperti biasa. Kita di Johor tidak berlaku ketiadaan bekalan beras yang kritikal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal, Jalan Datin Halimah, Larkin di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo dan Pengarah agensi KPB Johor, Mohd Alieff Sabeh.

Dalam pada itu, Zahari turut menasihatkan orang ramai termasuk pengusaha kantin dan katering supaya membeli beras pada kadar yang perlu sahaja.

Menurutnya, peniaga juga perlu bertanggungjawab dengan tidak menyorok beras dan sekiranya berbuat demikian, tangkapan akan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Di Johor setakat ini, tiada laporan peniaga menyorokkan beras, mungkin dalam aplikasi Tik Tok dan media sosial ada, tapi laporan rasmi kepada KPDN tiada. Kita alu-alukan rakyat yang mengetahui ada peniaga sorok beras supaya lapor kepada KPDN," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Johor menerima 100 tan metrik beras daripada beberapa agensi antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang untuk mengatasi kekurangan sumber makanan ini.