Mandikan si pencuri di tempat jenazah sebagai pengajaran

Seorang pemuda dimandikan di atas tempat mandi jenazah selepas ditangkap melakukan pecah tabung surau di Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, dekat Sungai Tiram, hari ini.
Seorang pemuda dimandikan di atas tempat mandi jenazah selepas ditangkap melakukan pecah tabung surau di Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, dekat Sungai Tiram, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang ditangkap selepas dipercayai melakukan pecah tabung Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, dekat Sungai Tiram di sini dimandikan di atas tempat mandi jenazah, hari ini.

Tindakan itu dibuat jawatankuasa surau terbabit secara jelas tidak berniat untuk memalukan mana-mana pihak termasuklah lelaki terbabit, tetapi sebagai pengajaran buat si pelaku.

Timbalan Pengerusi Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, Ramle Ahmat berkata, kejadian pecah tabung di surau berkenaan sudah beberapa kali berlaku selain kes curi beg tangan jemaah wanita ketika sedang menunaikan solat.

“Sebenarnya kejadian pecah tabung ini sudah lima kali berlaku di surau yang sama sejak dua tahun lepas. Suspek yang tertangkap pada hari ini juga telah cuba masuk dan pecah tabung pada 10 Mei lalu.

“Kami mendapat maklumat setelah melihat CCTV dan pada hari ini, berlaku lagi orang yang sama buat, dan berjaya ditangkap oleh orang kampung serta AJK surau,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Ramle berkata, beliau langsung tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana individu dengan memandikan lelaki terbabit di tempat mandi jenazah, sebaliknya sebagai kesedaran dan pengajaran kepada pelaku serta orang lain.

Katanya, kejadian pecah tabung surau tersebut berlaku sekitar jam 9.15 pagi, dan dimaklumkan oleh AJK lain 10 minit kemudian, sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Ulu Tiram pada jam kira-kira 11.20 pagi.

“Sebenarnya bukan setakat pecah tabung sahaja, ada juga kes curi beg tangan jemaah wanita yang sedang menunaikan solat pada tahun lalu dengan kerugian dianggarkan lebih kurang RM1,000 selain pecah masuk bilik imam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular di laman sosial khususnya Facebook satu rakaman berdurasi satu minit 22 saat memaparkan seorang pemuda dipercayai yang ditangkap kerana melakukan pecah tabung surau disirami air di atas tempat mandi jenazah.