Kerajaan guna pelbagai pendekatan perluas sawit ke luar negara

 Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama Datuk Dr Tan Yew Chong (dua, kiri) menyampaikan sijil Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) kepada pekebun kecil sawit pada Majlis Taklimat MSPO Pekebun Kecil Sawit dan Sesi Dialog di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) C Yik Chiao Bukit Pelandok hari ini. - Foto Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama Datuk Dr Tan Yew Chong (dua, kiri) menyampaikan sijil Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) kepada pekebun kecil sawit pada Majlis Taklimat MSPO Pekebun Kecil Sawit dan Sesi Dialog di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) C Yik Chiao Bukit Pelandok hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Pelbagai pendapatan dan usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Industri Utama untuk mengembangkan lagi pasaran minyak sawit Malaysia ke luar negara bagi meningkatkan harga komoditi tersebut.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Tan Yew Chong berkata, harga bukan merupakan cabaran pertama yang dihadapi oleh negara ini, malahan ia hanya bersifat berjangka pendek disebabkan harganya yang tidak menentu.

"Kita menggunakan pendekatan holistik untuk mengatasi cabaran tersebut. Jadi, kita kena lihat bekalan dan permintaan secara keseluruhan daripada negara-negara pengeluar kelapa sawit. Banyak elemen kita kena tengok dan banyak juga inisiatif telah dan sedang diambil.

"Salah satunya ialah supaya kita dapat memperluaskan pasaran dunia dan setiap kali kita pergi mengadakan misi promosi dan perdagangan, kita akan mencari jalan bagaimana untuk menambah penjualan minyak dan produk sawit kita," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSOP) dan sesi dailog bersama pekebun kecil di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yik Chiao Bukit Pelandok dekat sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Penyelidikan Integrasi dan Pengembangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ramlee Moslim serta anggota Dewan Undangan Negeri Chuah Michael Yek Diew Ching.

Oleh itu, kementeriannya akan mengadakan lebih banyak delegasi promosi minyak sawit ke luar negara dalam masa terdekat.

"Pasaran utama kita ialah China, India dan juga Timur Tengah. Baru-baru ini Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin telah mengetuai delegasi Arab Saudi untuk memperluaskan lagi pasaran di sana. Sebelum itu, kita sudah kembangkan pasaran di Pakistan dan India.

"Bulan ini juga Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berada di beberapa negara di Eropah, mengetuai delegasi promosi minyak sawit dan komoditi Malaysia, manakala akhir bulan ini, beliau akan ke China untuk mengembangkan lagi promosi minyak sawit dan komoditi Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kementeriannya juga memberi penekanan kepada produk hiliran kelapa sawit supaya dapat meneroka lebih lagi banyak peluang pelaburan.

Katanya sebagai contoh, setakat ini penggunaan pokok kelapa sawit hanya 15 peratus, sedangkan ada 85 peratus lagi kegunaan yang belum dikomersilkan.

"Pembangunan industri hiliran (produk hiliran) ini kita kena diteroka dahulu. Sekarang daripada penggunaan 15 peratus pokok kelapa sawit, kita sudah memperolehi RM67.5 bilion pendapatan hasil eksport. Andaikan kita tambah lagi 15 peratus, bermakna dengan mudah kita akan menggandakan pendapatan.

"Jadi, dalam jangka masa lima hingga lapan tahun, kita boleh capai satu sasaran yang dapat memantapkan lagi industri ini melalui pembangunan hiliran yang lebih hebat," katanya. - Bernama