Dua pekerja kilang sesak nafas terhidu gas ammonia bocor

Pasukan bomba membantu membilas anggota Hazmat yang menjalankan operasi gas ammonia bocor di sebuah kilang ais di Simpang Pulai pada Selasa. Foto: Ihsan Bomba
Pasukan bomba membantu membilas anggota Hazmat yang menjalankan operasi gas ammonia bocor di sebuah kilang ais di Simpang Pulai pada Selasa. Foto: Ihsan Bomba
A
A
A

IPOH - Dua individu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, selepas mengalami sesak nafas akibat terhidu gas ammonia bocor di sebuah kilang ais di Persiaran Industri Rapat dekat Simpang Pulai di sini pada Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sayani Saidon berkata, seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan pekerja kilang bersebelahan dibawa mendapatkan rawatan sekitar jam 8.40 pagi.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa dirawat di zon kuning Jabatan Kecemasan hospital berkenaan dan dilaporkan berada keadaan stabil.

"Kejadian ini berpunca daripada paip saluran gas ammonia mengalami kebocoran dan baunya dapat dihidu dalam jarak antara 30 hingga 90 meter.

"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah mengenal pasti kebocoran itu dan melakukan 'water curtain' bagi menyejukkan bahan itu mengelakkan gas itu meresap keluar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Sayani, pasukan kini dalam tindakan untuk bilas dan pencairan menggunakan air bagi meneutralkan bacaan gas ammonia di kawasan premis tersebut.

"Bacaan awal mencatatkan sekitar 500ppm (parts per million) dan kini turun kepada 300ppm. Bagaimanapun, bacaan ini tidak stabil.

"Operasi masih diteruskan dengan mengambil bacaan ini secara berkala sehingga ia selamat sepenuhnya untuk pekerja dan kawasan sekeliling," katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi bermula jam 5.11 pagi itu melibatkan 19 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dibantu pasukan dari Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) BBP Pasir Puteh.