Bomba kerjasama dengan Tourism Perak tingkat kesedaran pengusaha inap desa

Sayani (dua dari kiri) menyaksikan pemakaian pangkat oleh isteri pegawai bomba ketika Majlis Pemakaian Tanda Pangkat bagi Gred KB24 dan Gred KB22 sempena Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak pada Selasa.
Sayani (dua dari kiri) menyaksikan pemakaian pangkat oleh isteri pegawai bomba ketika Majlis Pemakaian Tanda Pangkat bagi Gred KB24 dan Gred KB22 sempena Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan bekerjasama dengan Tourism Perak dalam memastikan semua premis penginapan khususnya inap desa di negeri ini menitikberatkan aspek keselamatan kebakaran menjelang Tahun Melawat Perak 2024.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, aspek keselamatan kebakaran merupakan perkara yang penting dalam pengoperasian inap desa untuk kemudahan pelancong yang datang ke negeri ini.

Menurutnya, dalam masa yang sama, aspek keselamatan di air juga akan menjadi keutamaan kepada pihak JBPM bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku di lokasi-lokasi peranginan ekopelancongan.

"Kita perlu berkolaborasi dengan pihak Tourism Perak berkaitan pengoperasian inap desa di bawah mereka sebab bukan saja dari aspek keselamatan kebakaran bahkan dari segi keselamatan di air juga. Kami melihat dua perkara yang besar.

"Saya dalam perancangan tetapi saya belum laksana sepenuhnya dalam gerak kerja kami untuk berbincang dengan pihak Tourism bagi kesedaran bersama pengusaha rumah-rumah inap desa di Perak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Premier Dato' Sri Ts Mohammad Hamdan, Ibu Pejabat JBPM Perak di sini pada Selasa.

Sementara itu, Sayani berkata, pihaknya juga menjalankan penguatkuasaan terhadap pematuhan Sijil Perakuan Bomba di premis-premis yang telah mendapat kelulusan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan Sijil Kelayakan Menduduki (CF).

Menurutnya, setiap premis yang mempunyai Sijil Perakuan Bomba diwajibkan memperbaharui setiap tahun dengan mengemukakan pelan asal atau memaklumkan kepada JBPM jika terdapat sebarang perubahan struktur atau pelan.

Sayani (dua dari kiri) menyampaikan sijil Teman Pili Bomba kepada orang awam.
Sayani (dua dari kiri) menyampaikan sijil Teman Pili Bomba kepada orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ada perubahan perlu dinyatakan semula kepada bomba supaya kita boleh membuat pemeriksaan. Kita bimbang sekiranya ada perubahan tanpa maklum.

"Jika berlaku apa-apa itu akan menjejaskan dari segi kefungsian perkakasan bomba yang telah kita periksa dan kita luluskan dalam keadaan baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sayani berkata, pihaknya juga sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi fasa peralihan monsun yang dijangka membawa kepada taburan hujan lebih banyak pada Oktober dan November ini.

Katanya, kesemua 265 titik panas kawasan yang sering berlaku banjir di 12 daerah di Perak akan dipantau bagi memudahkan kerja-kerja penyelamatan dilakukan ketika bencana berlaku.

Pada majlis tersebut, turut diadakan Majlis Pemakaian Tanda Pangkat bagi Gred KB24 dan Gred KB22 melibatkan seramai 25 pegawai seluruh Perak.

Sayani berkata, apa yang menariknya majlis kali ini turut melibatkan pasangan pegawai yang menerima kenaikan pangkat dengan memberi peluang kepada isteri dan suami masing-masing memakaikan tanda pangkat.

Selain itu, pada majlis tersebut turut disampaikan sijil penghargaan kepada pasukan bomba sukarela dan penyampaian sijil Teman Pili Bomba kepada 10 orang awam.