Dokumen Triti Laut Sulawesi belum boleh didedah

Datuk Mohamad Alamin ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Datuk Mohamad Alamin ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dokumen Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia belum boleh dikongsi kepada umum disebabkan proses ratifikasi yang berbeza oleh kedua-dua negara, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata, berdasarkan amalan antarabangsa, dokumen itu boleh dikongsi setelah kedua-dua negara menyempurnakan proses ratifikasi berdasarkan undang-undang domestik masing-masing.

"Dalam hal ini, Indonesia perlu meratifikasi triti yang ditandatangani itu di Parlimen Indonesia terlebih dahulu. Sebelum itu, kita tidak boleh dedahkan sewenang-wenangnya, kena jaga sensitiviti negara jiran.

"Setelah diratifikasi oleh Parlimen Indonesia, kita akan buat notifikasi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang dokumen itu. Ini proses yang perlu diikuti berdasarkan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mohamad menjawab celahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanya pandangan beliau sekiranya dokumen itu didedahkan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen seperti isu pembelian vaksin Covid-19 yang dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, dokumen pembelian vaksin hanya melibatkan isu domestik dalam negara, manakala yang melibatkan triti antarabangsa perlu dilaksanakan dengan menghormati proses perundangan di negara berkenaan.

Beliau sekali lagi menegaskan kawasan atau persempadanan maritim yang dipersetujui dalam Triti Laut Sulawesi tidak langsung melibatkan kawasan yang disebut sebagai Ambalat.

Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun 2023 tidak melibatkan persempadanan maritim di zon ekonomi eksklusif (ZEE) dan pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia yang terletaknya kawasan dirujuk Indonesia sebagai Ambalat, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: