Malaysia-Brunei meterai MoU bidang belia dan sukan, kehakiman syariah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dalam bidang belia dan sukan di antara Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dengan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Brunei Datuk Seri Setia Awang Nazmi Mohamad (depan, kiri) di Seri Perdana pada Khamis. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dalam bidang belia dan sukan di antara Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dengan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Brunei Datuk Seri Setia Awang Nazmi Mohamad (depan, kiri) di Seri Perdana pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Brunei bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang belia dan sukan, serta kehakiman syariah melalui pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) di Putrajaya hari ini.

Turut dimeterai di Putrajaya sempena lawatan negara Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah selama tiga hari ke Malaysia itu ialah perjanjian triti berkaitan Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP).

Pertukaran MoU dan perjanjian triti itu berlangsung di Seri Perdana di sini yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei.

MoU membabitkan kerjasama dalam bidang belia dan sukan ditandatangani oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, serta Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Brunei Datuk Seri Setia Awang Nazmi Mohamad.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Mohd Amran Mat Zain pula menandatangani MoU berkaitan kehakiman syariah dengan Ketua Hakim Syarie Brunei Datuk Paduka Seri Setia Awang Salim Besar.

Perjanjian triti ITOP pula ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan rakan sejawatannya dari Brunei Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Brunei di kediaman rasmi perdana menteri itu pada kira-kira pukul 4 petang disambut Anwar dengan diiringi tarian tradisional.

Sultan Brunei dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha berangkat tiba di Pangkalan Udara Subang semalam bagi memulakan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari sehingga esok.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan negara Sultan Hassanal Bolkiah itu bertepatan dengan Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-24 yang akan dihadiri oleh Baginda dan Anwar.

Lawatan Sultan Brunei itu akan mengukuhkan lagi hubungan terjalin lama dan kerjasama pelbagai aspek antara kedua-dua negara dan rakan kongsi di ASEAN.

Pada 2022, Brunei merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM13.22 bilion (AS$2.98 bilion), peningkatan 68.4 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021. - Bernama