Pengarah syarikat terjerat sindiket pelaburan tak wujud

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Tertarik dengan pulangan pelaburan yang tinggi, seorang pengarah syarikat kerugian RM348,673 akibat dijerat sindiket penipuan pelaburan tidak wujud, bulan lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan berkaitan sindiket itu diterima daripada lelaki berusia 58 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Isnin.

Menurut beliau, siasatan mendapati mangsa membuat pelaburan menerusi aplikasi 'OSL' yang tidak wujud.

"Mangsa berkenalan dengan seorang wanita di Facebook pada 27 Julai lalu dan suspek memperdaya mangsa untuk melabur melalui aplikasi itu.

"Dalam tempoh 12 Ogos hingga 26 Ogos, mangsa telah memasukkan lapan kali transaksi ke tujuh akaun bank berlainan dengan jumlah keseluruhan RM348,673," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Mohd Yusri berkata, setelah beberapa hari, semakan mendapati akaun pelaburan OSL mangsa memperoleh keuntungan sebanyak RM1,060,085.41.

"Apabila ingin mengeluarkan wang tersebut, suspek meminta mangsa membuat bayaran 30 peratus daripada jumlah keuntungan tersebut.

"Dengan permintaan itu, barulah mangsa sedar bahawa dia ditipu suspek dan membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.