'Tak perlu tukar nama LTdL' - Amarjit

LTdL sudah mempunyai jenama yang kukuh dalam dunia perlumbaan jelajah berbasikal di peringkat Asia mahupun antarabangsa.
LTdL sudah mempunyai jenama yang kukuh dalam dunia perlumbaan jelajah berbasikal di peringkat Asia mahupun antarabangsa.
A
A
A

PERLUMBAAN jejalah berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) sudah berada dalam kelas tersendiri sejak edisi pertama penganjurannya pada 1996.

Maka, agak janggal jika LTdL ditukar nama atau dijenamakan semula hanya semata-mata Pulau Langkawi tidak berada dalam senarai laluan perlumbaan edisi ke-27 tahun ini.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, beliau secara peribadi tidak bersetuju sekiranya LTdL ditukar nama baharu.

"LTdL sudah dikenali di seluruh dunia... semua negara, pasukan mengenali LTdL. Kalau tukar nama atau penjenamaan semula, kita akan bermula daripada kosong semula.

"Jadi saya fikir, isu menukar nama tidak akan timbul dan kita di PKBM akan sentiasa menyokong nama LTdL dikekalkan," kata Amarjit.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pengenalan Penaja Utama LTdL 2023, Tourism Malaysia yang turut menaja Jersi Polka Dot (Raja Bukit) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Isnin.

Sebelum ini, timbul isu apabila ada pihak yang meminta LTdL ditukar nama selepas Pulau Langkawi tiada dalam peta laluan bagi edisi kali ini yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 30 September ini.

Malah, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah turut membangkitkan persoalan berkenaan 'ketiadaan' Pulau Langkawi pada LTdL 2023 di Dewan Rakyat minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau mencadangkan LTdL ditukarkan kepada Le Tour de Malaysia atau Le Tour de Madani selepas pulau lagenda itu tidak menjadi laluan perlumbaan tahun ini.

"Ini ura-ura dibuat oleh pelbagai pihak, di Parlimen juga ada bercakap tapi itu politik. Kalau dilihat daripada acara itu sendiri (LTdL), ia sudah mempunyai jenama yang kuat dan kita perlu kekalkan," jelasnya.