Tourism Malaysia taja Jersi Raja Bukit LTdL 2023

Ahmad Shapawi (dua dari kanan) menerima tajaan dari Ammar pada majlis Penajaan LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil, pada Isnin.
Ahmad Shapawi (dua dari kanan) menerima tajaan dari Ammar pada majlis Penajaan LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil, pada Isnin.
A
A
A

TOURISM Malaysia yang terkenal dengan jenama Malaysia Truly Asia secara rasmi diperkenalkan selaku penaja utama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bakal berlangsung dari 23 hingga 30 September ini.

Malah, Tourism Malaysia yang cukup sinonim dengan perlumbaan jelajah terulung Asia itu sejak penganjuran sulung LTdL pada 1996, turut menaja Jersi Polka Dot (Raja Bukit) bagi edisi ke-27 kali ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, Tourism Malaysia selaku penaja utama tampil dengan tajaan wang tunai berjumlah RM1 juta selain bantuan dalam mempromosikan LTdL 2023.

"Hari ini secara rasminya Tourism Malaysia bersama-sama dengan LTdL. Kami di MSN mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran Tourism Malaysia selaku penaja utama perlumbaan LTdL tahun ini.

"Seperti yang saya maklumkan dalam ucapan tadi, Tourism Malaysia bukan sahaja menaja wang tunai RM1 juta, malah turut membantu dalam aspek promosi seperti persembahan tradisional di semua venue pelepasan.

"Dengan tajaan tersebut, Tourism Malaysia diberikan penghormatan sebagai penaja Jersi Polka Dot (Raja Bukit) dalam setiap peringkat perlumbaan," katanya dalam Majlis Penajaan LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil pada Isnin.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghafar; Timbalan Ketua Pengarah (Pengkomersialan dan Pemasaran) MSN, Abdul Rashid Yakub dan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill.

Sementara itu, Ammar berkata, pihaknya berbesar hati apabila dapat bersama-sama pihak penganjur, MSN dalam menjayakan perlumbaan LTdL yang memiliki prestij tersendiri di peta sukan tanah air.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pihak Tourism Malaysia, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak sekretariat khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN atas ruang dan peluang yang diberikan kepada kami untuk turut sama menjayakan LTdL 2023.

"Sesungguhnya penajaan ini bukanlah perkara baharu tapi sejak 1996 lagi. Hakikatnya Tourism Malaysia menyokong penganjuran sukan bertaraf dunia seperti LTdL yang berupaya menarik pelancong antarabangsa ke negara ini," jelasnya.

LTdL 2023 akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4 kilometer (km); Peringkat 2 Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli ke Baling (177.1km) dan Peringkat 4 Bukit Mertajam ke Meru Raya (140km).

Peringkat 5 diteruskan dari Slim River ke Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak ke Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar ke Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 157km.