Elavarasan lepas jawatan pengendali Harimau Muda

Elavarasan (kiri) kembali semula berguru dengan Pan-gon bersama Harimau Malaya. - Foto FAM
Elavarasan (kiri) kembali semula berguru dengan Pan-gon bersama Harimau Malaya. - Foto FAM
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa E Elavarasan secara rasminya telah melepaskan jawatan selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan untuk kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Elavarasan pada 1 September 2022 diumum sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang baharu menggantikan Brad Maloney dan pada masa yang sama masih memegang jawatan sebagai pembantu kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon dalam skuad senior negara.

Pada ketika itu membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan-gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan untuk skuad senior dan skuad B-23 negara itu.

Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu.

Barpun gagal di Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei, mereka berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, sejurus selesai tugasan di Chonburi itu, satu perjumpaan di antara Elavarasan dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi membincangkan hala tuju pasukan B-23 kebangsaan selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

"Dalam perbincangan dari hati ke hati itu, Hamidin dan Elavarasan telah mencapai kata sepakat dan persetujuan agar beliau kembali fokus kepada tanggungjawabnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Pan-gon dalam skuad senior, sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.

"Hamidin turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sumbangan Elavarasan kerana tetap berjaya membawa pasukan layak ke Piala Asia B-23 2024, biarpun tewas 1-0 kepada Thailand pada aksi terakhir kelayakan, 12 September lalu," kata FAM dalam satu kenyataan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengganti Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada April depan hanya akan diumum selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat serta kata putus yang akan dicapai nanti.