Suara hati 'pemain ke-12' Harimau Muda

Elavarasan (kiri) dan Pan-gon. Foto: Football Association of Malaysia
Elavarasan (kiri) dan Pan-gon. Foto: Football Association of Malaysia
A
A
A

SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara akhirnya berjaya merealisasikan matlamat terakhir Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Bangkok, Thailand iaitu mara ke pusingan akhir tahun depan di Qatar.

Namun kejayaan mara buat kali ketiga skuad muda negara itu berdepan laluan beronak berliku beberapa jam selepas Harimau Muda tewas 0-1 kepada Thailand dalam perlawanan terakhir kumpulan H yang juga aksi penentu juara kumpulan.

Anak buah E Elavarasan berjaya menempatkan diri dalam kelompok 16 pasukan terbaik selaku naib juara keempat terbaik di belakang China, Tajikistan dan Kuwait di kejuaraan yang menyingkap cabaran dari 15 April hingga 3 Mei tahun depan itu.

Mara ke pusingan akhir Piala Asia B23 Qatar 2024, juga satu perkhabaran gembira yang menyaksikan Harimau Muda turut mengikuti jejak langkah skuad senior Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon ke pusingan akhir Piala Asia Qatar 2023.

Namun terdapat segelintir penyokong skuad bola sepak negara yang prihatin mencadangkan supaya Elavarasan digantikan dengan pengendali baharu bagi memantapkan persediaan Harimau Muda menjelang kejuaraan fasa berintensiti tinggi tersebut.

"Tolong lantik coach yang lebih baik dan lebih kepada taktikal bola sepak moden, coach sekarang ini lebih kepada taktikal lama yang boleh dibaca pasukan lawan," kata penyokong yang dikenali sebagai Muhammad Bawani.

Turut senada seorang lagi penyokong yang dikenali sebagai Zainal Abidin yang menulis, "Tahniah Malaysia B-23 layak ke Piala Asia 2024 di Qatar.

"Pandangan saya kena dapatkan coach yang kreatif seperti KPG (Kim Pan-gon) baru ada sengat."

Artikel Berkaitan:

Bagi penyokong yang dikenali sebagai Saad Jamil pula berkata, "Tahniah walaupun secara nasib dapat melayakkan diri.

"Kalau ingat nak bersaing (di Qatar 2024) elok tukar coach dan rombak sedikit para pemain.

"Namun sekiranya hendak masuk sebagai (pasukan) pelengkap kekalkan seperti sekarang."

Penyokong yang dikenali sebagai Marzuki Mohd Nor yang teruja dengan kejayaan skuad muda negara itu berkata, "Alhamdulillah, coach kena tukar ganti dengan KPG untuk Piala Asia B-23 2024. Indonesia dan Vietnam guna coach yang sama."

Pandangan sama turut dikongsikan penyokong dikenali Mohd Badarudin yang berkata, "B-23 kena berguru dengan KPG sebagaimana dipraktikkan Vietnam dan Indonesia.

"Pasukan muda muda dapat menyerap taktikal dan falsafah yang digunapakai skuad senior.

"Ini terbukti dengan penampilan skuad B-23 Indonesia sama garang seperti pasukan senior. Vietnam pula maintain junior seperti senior kerana sudah lama berguru dengan jurulatih yang sama.

"Bukan tak bagus Elavarasan tapi belum cukup ilmu kerana sekejap sahaja berguru jadi pembantu KPG. Harap ada perubahan jurulatih."

Kebimbangan para penyokong skuad bola sepak negara dengan baki beberapa bulan sebelum kejuaraan bermula di bumi yang pernah menganjurkan Piala Dunia Qatar 2022 tidak lain tidak bukan kerana tidak mahu pasukan muda negara menjadi lauk di Qatar.

Sebagai rekod, Qatar 2024 merupakan penampilan ketiga skuad Harimau Muda selepas edisi China 2018 dan Uzbekistan 2022.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah mara ke suku akhir pada edisi 2018.


INFO

Pusingan Akhir Piala Asia B-23 Qatar 2024

1. Qatar (Tuan rumah) penampilan keempat (2016, 2018, 2020, 2022)

2. Jordan (Juara Kumpulan A) penampilan kelima (2013, 2016, 2018, 2020, 2022)

3. Korea Selatan (Juara Kumpulan B) penampilan kelima (2013, 2016, 2018, 2020, 2022)

4. Vietnam (Juara Kumpulan C) penampilan keempat (2016, 2018, 2020, 2022)

5. Jepun (Juara Kumpulan D) penampilan kelima (2013, 2016, 2018, 2020, 2022)

6. Uzbekistan (Juara Kumpulan E) penampilan kelima (2013, 2016, 2018, 2020, 2022)

7. Iraq (Juara Kumpulan F) penampilan kelima (2013, 2016, 2018, 2020, 2022)

8. Emiriah Arab Bersatu (UAE) (Juara Kumpulan G) penampilan keempat (2013, 2016, 2020, 2022)

9. Thailand (Juara Kumpulan H) penampilan keempat (2016, 2018, 2020, 2022)

10. Australia (Juara Kumpulan I) penampilan kelima (2013, 2016, 2018, 2020, 2022)

11. Arab Saudi (Juara Kumpulan J) penampilan kelima (2013, 2016, 2018, 2020, 2022)

12. Indonesia (Juara Kumpulan K) penampilan pertama

13. Kuwait (Naib juara terbaik satu) penampilan kedua (2013, 2022)

14. Tajikistan (Naib juara terbaik dua) penampilan satu (2022)

15. China (Naib juara terbaik ketiga) penampilan keempat (2013, 2016, 2018, 2020)

16. Malaysia (Naib juara terbaik keempat) penampilan kedua (2018, 2022)