Larang warga asing beli beras tempatan bukan satu diskriminasi - Pemuda UMNO

Muhamad Akmal (gambar kecil) menafikan cadangan beliau melarang warga asing membeli beras tempatan adalah satu diskriminasi kepada pekerja asing di negara ini. - Foto Bernama. Gambar kecil: Muhamad Akmal
Muhamad Akmal (gambar kecil) menafikan cadangan beliau melarang warga asing membeli beras tempatan adalah satu diskriminasi kepada pekerja asing di negara ini. - Foto Bernama. Gambar kecil: Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan cadangan beliau melarang warga asing membeli beras tempatan adalah satu diskriminasi kepada pekerja asing di negara ini.

Menurutnya, ia bukan soal diskriminasi tetapi keutamaan perlu diberikan pada warganegara.

Beliau berkata, jika beras tempatan berlambak di pasaran tiada masalah, namun pada hari ini berlaku sebaliknya.

"Sekarang nak beli pun susah malah kita terpaksa berebut dengan mereka pula sedangkan ketika beras tempatan berkurangan, seharusnya keutamaan perlu diberikan pada warga negara sendiri.

"Tauke besar hanya memikirkan keuntungan dan yang paling penting barang mereka habis dijual kepada sesiapa sahaja, tetapi pemimpin perlu memikirkan masalah sebenar rakyat di bawah ini," ujarnya menerusi laman Facebook pada Ahad.

Pada Ahad, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin mengecam saranan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh agar beras tempatan hanya dijual kepada warga Malaysia di tengah-tengah kenaikan harga makanan ruji itu susulan kekurangan bekalan di pasaran domestik.

Beliau berkata, cadangan Akmal tidak akan menangani masalah yang dihadapi malah ia adalah satu mesej yang salah dan mendiskriminasikan pekerja asing di negara ini.

Tambah Muhamad Akmal, tidak dinafikan ia bukan satu penyelesaian yang panjang tetapi sekurang-kurangnya boleh mengurangkan bebanan awal ketika krisis ini berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Betul pekerja asing pun bukan kaya raya, tetapi berbanding dengan komitmen mereka dengan rakyat Malaysia jauh berbeza.

"Mereka tinggal rumah sewa ramai-ramai, makan pun secara berjemaah, tidak perlu untuk membayar pinjaman kereta, rumah, anak sekolah dan lain-lain lagi," jelasnya.