[VIDEO] Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikaji, atasi peningkatan jenayah siber

A
A
A

KULAI - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memastikan undang-undang jenayah siber dan media sosial dapat diperkasakan.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, sudah tiba masanya akta berkenaan dikaji semula bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap jenayah siber di media sosial dengan peruntukan undang-undang yang mencukupi.

Menurutnya, akta berkenaan diharap dapat dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini atau seawalnya awal tahun depan.

"Sudah sampai masanya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikaji semula bagi memastikan perundangan yang ada kini mencukupi untuk mengambil tindakan ke atas jenayah siber.

"Selepas ini, KKD akan buat kerjasama dengan pemegang taruh penyedia perkhidmatan komunikasi," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri tayangan filem Malbatt Misi Bakara di sini pada Ahad.

Nie Ching pada sidang akhbar selepas menghadiri tayangan filem Malbatt Misi Bakara di Kulai pada Ahad.
Nie Ching pada sidang akhbar selepas menghadiri tayangan filem Malbatt Misi Bakara di Kulai pada Ahad.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai mengakui terdapat tanda yang menunjukkan penyalahgunaan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

"AI banyak membantu dari segi pengumpulan data bersepadu dan analisis serta tingkatkan perkhidmatan awam.

Artikel Berkaitan:

"Namun dalam masa yang sama, sekiranya teknologi ini jatuh ke tangan penjenayah mereka akan guna untuk perkara buruk seperti 'scam'," katanya.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, KKD bersedia memberikan kerjasama sekiranya diminta memberi ulasan berhubung tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu mengkaji undang-undang sedia ada berkaitan jenayah siber dengan memasukkan elemen penipuan melalui perisian dan peranti komputer.

Pada Sabtu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, ini kerana kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Razarudin berkata, pakar dan saintis AI kini sangat bimbang tentang kapasiti AI yang boleh mengawal sendiri arahan-arahan komputer untuk mengubah sesuatu.