Jakim anjur solat hajat buat Maghribi, Libya, Sudan

Pekerja penyelamat membawa mayat yang ditemui daripada runtuhan rumah yang musnah akibat gempa bumi Mahribi di kampung Imi N'Tala berhampiran Amizmiz pada 13 September lalu. - Foto AFP
Pekerja penyelamat membawa mayat yang ditemui daripada runtuhan rumah yang musnah akibat gempa bumi Mahribi di kampung Imi N'Tala berhampiran Amizmiz pada 13 September lalu. - Foto AFP
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan solat hajat selepas solat Maghrib di tiga masjid utama esok iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini bagi mendoakan kesejahteraan buat mangsa gempa bumi di Maghribi dan banjir besar di Libya serta pendamaian dalam konflik di Sudan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut diminta untuk melaksanakan solat hajat pada tarikh dan waktu yang sama.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengikuti perkembangan laporan oleh agensi media tempatan dan antarabangsa berkenaan tragedi gempa bumi di Maghribi, banjir besar yang melanda Libya termasuk konflik di Sudan.

"Saya dan seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan takziah buat semua mangsa dan seluruh ahli keluarga serta mendoakan kemudahan dan kelancaran bagi urusan mencari dan menyelamat mangsa khususnya di Maghribi dan Libya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na'im seterusnya menyeru umat Islam untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan buat seluruh rakyat Maghribi dan Libya serta menghulurkan apa juga bentuk bantuan kepada mangsa-mangsa yang menghadapi ujian susulan bencana tersebut.

"Selain itu, kita juga berdoa supaya segala usaha perdamaian akan berjaya menyelesaikan konflik yang meletus di Sudan," katanya. - Bernama

...........................................................................................................................................



Jawi saran solat hajat, anjur kutipan derma

Artikel Berkaitan:

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat hajat selepas solat Maghrib pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ia bagi mendoakan kesejahteraan buat semua mangsa, kemudahan untuk pasukan mencari dan menyelamat susulan tragedi gempa bumi melanda Morocco dan banjir besar di Libya.

"Kami merakamkan ucapan takziah dan turut bersimpati kepada mangsa dan seluruh ahli keluarga yang terlibat termasuk dalam isu konflik di Sudan dan solat hajat tersebut juga bagi perdamaian bagi negara yang berkonflik terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah kutipan sumbangan khas bagi membantu meringankan beban ditanggung mangsa turut diadakan pada Jumaat depan di masjid dan surau Jumaat seluruh Wilayah Persekutuan sebagai lambang solidariti dan ihsan sesama insan merentasi batas sempadan.

"Sesungguhnya doa dan munajat yang dikirimkan adalah salah satu inisiatif berterusan dalam menzahirkan keprihatinan umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan terhadap musibah yang melanda ummah di seluruh dunia," tambahnya.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui Tabung Musaadah Jawi nombor akaun 14023010052811, Bank Islam Malaysia Berhad.