'Kami minta maaf'

Sesi foto praperkahwinan Hendra dan Pratiwi bertukar menjadi mimpi ngeri. - Foto: Agensi
Sesi foto praperkahwinan Hendra dan Pratiwi bertukar menjadi mimpi ngeri. - Foto: Agensi
A
A
A

SURABAYA - “Kami mahu memohon maaf yang tulus dan penuh penyesalan kepada suku Tengger."

Permintaan maaf itu dibuat pasangan mempelai di Indonesia yang melakukan sesi foto praperkahwinan hingga mencetuskan kebakaran hutan dan tanah di Blok Savana Lembah Watangan yang juga digelar sebagai Bukit Teletubbies di Gunung Bromo.

Hendra Purnama dan Pratiwi Mandala Putri bersama tiga kru penganjur perkahwinan melakukan tindakan itu bertujuan bagi menjernihkan keadaan di hadapan pemimpin adat Tengger.

“Kami juga mewakili pengurus, Andrie Wibowo yang kini berada di dalam tahanan polis,” kata Hendra di Balai Desa Ngadisari, Sukapura, Probolinggo pada Jumaat.

Kata-kata maaf itu turut disampaikan kepada Presiden, Joko Widodo atau Jokowi dan pemimpin kabinet lain termasuk pemerintah wilayah Jawa Timur, Kabupaten Probolinggo, Pasuruan serta seluruh rakyat negara tersebut.

“Kami tidak mahu kejadian seperti itu berlaku dan ia terjadi secara tidak sengaja. Kami juga cuba memadamkan kebakaran tersebut dengan air mineral,” ujarnya sambil menambah, api marak dengan cepat kerana angin kencang dan rumput kering.

Menurutnya, insiden tersebut akan menjadi pengajaran yang besar buat mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Sementara itu, wakil pemimpin berkenaan, Romo Dukun Pandita memaklumkan mereka sangat menghormati dan menghargai permohonan maaf tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kami sangat sayangkan kawasan Bromo kerana ia bukan hanya lokasi pelancongan, malah tempat suci sejak daripada nenek moyang kami,” jelasnya.

Kejadian kebakaran tersebut yang berpunca daripada ‘flare’ memusnahkan kira-kira 500 hektar kawasan turut menyebabkan penutupan sementara Bromo.

Andrie, 41, telah menjadi suspek utama insiden itu setelah penemuan dua bukti dan dilaporkan tidak memiliki permit masuk ke kawasan tersebut. - Agensi