Usaha martabatkan seni kaligrafi Cina, jawi

Tan Awang Besar (empat dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pameran Kaligrafi Asia Tenggara 2023 yang berlangsung di Kuil Thean Hou pada Sabtu.
Tan Awang Besar (empat dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pameran Kaligrafi Asia Tenggara 2023 yang berlangsung di Kuil Thean Hou pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - 10 negara ASEAN termasuk Malaysia bergabung mempamerkan seni kaligrafi Cina dan jawi menerusi Pameran Kaligrafi Asia Tenggara 2023 yang berlangsung di Temple Thean Hou di sini bermula pada 15 September.

Pameran anjuran Gabungan Persatuan Kaligrafi Malaysia yang dijadual berlangsung tiga hari berkenaan menampilkan 170 karya tempatan dan luar negara bagi memberi peluang kepada orang ramai khususnya generasi muda mengenali seni yang semakin ditelan zaman itu.

Pengerusi Pameran Kaligrafi Asia Tenggara 2023, Ong Wee Chong berkata, pameran tersebut berjaya menarik penglibatan negara luar antaranya Brunei, Singapura, Laos, Kemboja, China dan Indonesia.

“Pameran ini dibuat untuk kita memberi lebih pendedahan kepada masyarakat bukan sahaja Cina tetapi juga kaum lain untuk lebih menghayati seni kaligrafi yang semakin dilupakan.

“Ia juga sebagai galakan kepada orang untuk belajar melukis kaligrafi bagi memastikan seni yang penuh keunikan ini kekal bertahan, meskipun berlaku perubahan zaman.

“Malah, melalui seni sebegini jugalah kita dapat memupuk semangat penyatuan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Kaligrafi jawi yang dipamer turut mendapat perhatian pengunjung.
Kaligrafi jawi yang dipamer turut mendapat perhatian pengunjung.

Majlis perasmian pameran berkenaan disempurnakan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Dr Tan Awang Besar.

Artikel Berkaitan:

Tambah Wee Chong yang juga Pegawai Hubungan Luar Gabungan Persatuan Kaligrafi Malaysia, kesenian menjadi ruang terbaik untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dan ia dibuktikan apabila enam kaligrafi jawi hasil karya tempatan turut dipamerkan.

Jelasnya, penglibatan pelukis kaligrafi jawi itu juga secara tidak langsung bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya Cina bahawa ia merupakan satu bentuk seni bukannya bersifat keagamaan seperti dipolemikkan pihak tertentu.

“Individu yang memahami dan menghayati seni sedar bahawa kaligrafi Jawi adalah satu bentuk kesenian dan kita di pihak persatuan sangat berbesar hati dengan penglibatan mereka dalam pameran kali ini.

“Jadi, nasihat saya kepada masyarakat Cina agar tidak takut untuk menghayati seni kaligrafi jawi ini kerana ia tiada kaitan dengan agama,” katanya.

Menyentuh mengenai kurangnya penglibatan golongan muda dalam seni kaligrafi, Wee Chong berkata, faktor tidak popular dan isu pendapatan membuatkan ramai tidak berminat.

Bagaimanapun katanya, bergelar pelukis kaligrafi mampu memberikan pendapatan lumayan sekiranya serius terlibat dalam menghasilkan karya yang kreatif dan mengikut peredaran zaman.

“Sekarang ini di sekolah-sekolah sudah tidak ada sesi belajar kaligrafi Cina atau jawi. Keadaan ini berlaku bukan sahaja disebabkan pelajar tidak berminat tetapi tidak ada guru yang pandai tulisan kaligrafi. Ini satu kerugian sebenarnya.

“Ibu bapa sekarang ini lebih memilih untuk menghantar anak-anak belajar piano, tarian dan sebagainya kerana kaligrafi bukan lagi pilihan. Jadi, menerusi pameran inilah kita ingin pupuk kembali minat masyarakat terhadap seni kaligrafi,” katanya.